TUGASAN ESEI KUMPULAN 6

Sunday, 1 September 2013

SOALAN ESEI MINGGU 11 :
Huraikan latar belakang kurikulum Sejarah Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Ahli Kumpulan:

Huda, Jamilah, Atiqah, Asyraf, Amir


Pendidikan zaman penjajahan British mencerminkan kepentingan penjajah. Ini jelas digambarkan melalui mata pelajaran Sejarah yang dijadikan saluran propaganda British yang amat berkesan. British memperkenalkan kurikulum Sejarah yang berbeza-beza antara sekolah aliran British dan sekolah aliran Melayu. Perkembangan kurikulum sejarah pada peringkat awalnya kurang mendapat sambutan. Kurikulum Sejarah yang diajar ketika itu hanya bertujuan supaya pelajar dapat memahami budaya Melayu melalui pengalaman kesusasteraan khususnya berbentuk hikayat seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah (Khoo Kay Kim 1992). Kurikulum Sejarah ketika ini dianggap sebagai mata pelajaran tambahan. Malahan pihak British tidak pernah menekankan kurikulum Sejarah tempatan kerana mereka berasa bimbang jika kedudukan politik dan ekonomi mereka akan tergugat.
Sekolah-sekolah Cina dan Tamil pula menggunakan kurikulum Sejarah dari negara China dan India. Sejarah British diberi tempat yang penting dalam kurikulum Sejarah (Khoo Kay Kim, 1992). Ini diakui oleh Abdul Razaq (2007) yang menjelaskan kurikulum Sejarah lebih menceritakan latar belakang masyarakat Eropah ataupun sejarah England itu sendiri. Bagi Jamaliah (2005), sebenarnya inilah yang menyebabkan wujudnya jurang dalam pendidikan sejarah antara murid sekolah aliran Inggeris, Cina dan Tamil. Hal ini mengakibatkan identiti dan nilai kerjasama tidak wujud dalam kalangan masyarakat ketika itu. Namun perkembangan kurikulum Sejarah di zaman pra kemerdekaan agak perlahan dan kurang diberi perhatian.
Pada peringkat awal pendidikan Sejarah yang diperkenalkan di sekolah-sekolah aliran Melayu lebih berbentuk kepada Kesusasteraan Melayu Klasik. British tidak menekankan pendidikan Sejarah tempatan dalam kalangan masyarakat di Tanah Melayu kerana dikhuatiri boleh menggugat kepentingan politik dan ekonominya. Di sekitar tahun 1950-an, perbincangan kurikulum Sejarah mula mendapat perhatian dalam kalangan sejarawan tempatan. Wujud desakan agar kurikulum Sejarah ditulis dari kaca mata tempatan kerana mereka berasa tidak puas hati terhadap kandungan kurikulum Sejarah yang banyak dilihat dari perspektif barat. Hanya selepas negara mencapai kemerdekaan, pengaruh kurikulum British dilihat semakin berkurangan (Maharom Mahmood, 2001). Sementara pengaruh kurikulum Sejarah negara India dan Cina tamat apabila Laporan Razak 1956 dikemukakan untuk memastikan satu sukatan pengajaran dan peperiksaan yang sama dilaksanakan demi perpaduan kaum di negara ini.
Selepas Perang Dunia kedua, kurikulum Sejarah mula memberi penekanan ke arah perpaduan dan integrasi kaum. Berikutannya satu perbincangan telah dilakukan untuk melihat semula kurikulum Sejarah di sekitar 1970-an. Beberapa forum seperti Kongres Kebudayaan Malaysia 1971, Seminar Sejarah Malaysia 1 dan 11 yang diadakan dalam tahun 1973 dan 1974 (Siti Zainun Mat, 1988 dan 1990) telah diadakan untuk membincangkannya. Dapatan seminar telah menggesa pihak Kementerian Pelajaran Malaysia menggunakan pendekatan ‘berpusatkan ke-Malaysiaan’ dalam menggubal sukatan pelajaran dan penulisan buku teks Sejarah (Siti Zainun Mat 1988, 1990). Hasilnya lahir cadangan agar Kementerian Pelajaran Malaysia mewujudkan kurikulum Sejarah yang lebih bersifat ‘Malaysian Centric’.
Pada pertengahan tahun 1986, mata pelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran wajib diambil oleh semua pelajar dan dijadikan sebagai salah satu subjek teras dalam pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Bagi Aini Hassan (2008) perubahan ini merupakan satu anjakan besar dalam falsafah dan konsepsi pengajaran dan pembelajaran Sejarah di sekolah. Falsafah, matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran telah dinyatakan dengan jelas. Fokus terhadap sejarah tempatan telah diterapkan dalam kurikulum. Pembahagian tajuk pula dilakukan mengikut tema-tema (PPK, 2002). Perkembangan kurikulum Sejarah pra dan pascamerdeka telah mengalami perubahan pesat, selari dengan tuntutan semasa.


Kini, perkembangan kurikulum Sejarah terus menarik untuk diperbincangkan. Kurikulum Sejarah terus mendapat perhatian daripada pihak berwajib. Ini berikutan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan Sejarah sebagai subjek WAJIB lulus pada tahun 2013 di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan subjek teras untuk sekolah rendah mulai 2012. Perkembangan ini dilihat telah meletakkan status mata pelajaran ini setara dengan mata pelajaran teras yang lain. Langkah proaktif pihak KPM yang mewujudkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah di sekolah menengah dilihat kena pada waktunya. Ini memastikan kurikulum yang digubal benar-benar memberi impak kepada pemahaman dan penghayatan Sejarah secara lebih menyeluruh dalam kalangan pelajar. Pada tahun 2014, mata pelajaran Sejarah akan diperkenalkan dalam KSSR untuk murid tahap dua bagi menggantikan mata pelajaran Kajian Tempatan.  Tujuannya ialah supaya mata pelajaran Sejarah mampu menyunting semangat cinta akan negara dalam kalangan murid agar mereka menjadi rakyat Malaysia yang patriotik.

0 comments:

Post a Comment