TUGASAN ESEI KUMPULAN 4

Sunday, 1 September 2013

SOALAN ESEI MINGGU 11 : 
Huraikan latarbelakang kurikulum Sejarah Tanah Melayu sehingga ke hari ini.

Ahli Kumpulan:
Nora, Syaza, Zaidah, Syafiq, Khobir

Perkembangan kurikulum Sejarah di Tanah Melayu telah wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi. Namun perkembanganya agak perlahan dan kurang diberi perhatian. Hal ini kemungkinan kerana pada ketika itu mata pelajaran sejarah merupakan mata pelajaran tambahan. Ekoran daripada itu, ia dianggap seperti tidak penting. Malahan pihak British tidak pernah menekankan kurikulum Sejarah tempatan. Tujuan kurikulum ini diadakan hanyalah sekadar untuk memberikan kefahaman kepada pelajar tentang budaya melayu melalui pengalaman kesusasteraan yang berbentuk hikayat seperti Hikayat Hang Tuah dan sebagainya. Pada tahun 1863, Kurikulum Sejarah telah diperkenalkan di sekolah-sekolah aliran Inggeris bagi peringkat Menengah Rendah. Kurikulum itu ditentukan oleh University Cambridge, London. Kemudian pada tahun 1891, Para pelajar di Tanah Melayu menduduki peperiksaan bagi subjek Sejarah dalam Cambridge Local Examinations. Seterusnya. mata pelajaran Tawarikh telah diperkenalkan dalam kursus perguruan di Maktab Perguruan Perempuan Melayu Melaka pada tahun 1918. Kemudian, pada tahun 1930an barulah mata pelajaran Sejarah diajar di sekolah-sekolah aliran Melayu. Pada ketika ini tumpuan diberikan kepada aktiviti-aktiviti membaca dan menghafal fakta-fakta yang terdapat dalam buku teks Sejarah sahaja.
Walau bagaimanapun selepas Perang Dunia ke 2, kurikulum Sejarah mula mengalami perubahan. Namun ianya masih lagi terikat menurut persepsi barat. Ini turut ditegaskan oleh Abdul Razaq dan Ramli (2007) yang menjelaskan kurikulum Sejarah ketika itu lebih banyak menceritakan latar belakang masyarakat Eropah atau pun Sejarah negara England itu sendiri. Apa yang jelas perkembangan kurikulum sejarah ketika itu tidak menggambarkan matlamat nasional yang jelas. Kurikulum sejarah yang diguna ketika ini dilihat berbeza-beza mengikut aliran sekolah vernakular ketika itu. Ini turut diperakui oleh Norrizan (2003) yang menjelaskan kurikulum Sejarah ketika itu mencerminkan kepentingan dan propaganda penjajah yang sangat berkesan. Kelemahan pelaksanaan kurikulum Sejarah ketika itu turut diperakui oleh Aini Hassan (2008).
Di sekitar tahun 1950an, perbincangan kurikulum Sejarah mula mendapat perhatian dalam kalangan sejarawan tempatan. Wujud desakan agar kurikulum Sejarah ditulis dari kaca mata tempatan. Ketidakpuasan hati ramai cendekiawan, budayawan dan sejarawan tempatan terhadap kandungan kurikulum Sejarah ini disebabkan oleh kandungan kurikulum Sejarah yang lebih berpaksikan. Berikutan itu, bagi melihat semula kurikulum sejarah satu perbincangan telah dilakukan pada sekitar tahun 1970an. Beberapa kongres dan forum dilaksanakan seperti Seminar Sejarah Malaysia 1 dan II pada tahun 1973 dan 1974. Kesan daripada perbincangan ini, wujud satu cadangan agar kurikulum Sejarah bersifat 'Malaysian centric'. Menurut Aminudin Baki  terdapat 2 prinsip asas yang perlu wujud dalam kurikulum Sejarah di sekolah-sekolah Tanah Melayu pada waktu itu iaitu Penekanan P&P Sejarah harus diberi kepada situasi di Tanah Melayu. Fokus kepada sejarah sosial dan ekonomi negara untuk menunjukkan kebergantungan budaya antara masyarakat berbilang kaum di Malaya. Keduanya, Penekanan kepada Sejarah Malaya dalam konteks hubungannya dengan negara-negara serantau Asia dan dunia. Ini bertujuan memberi kesedaran kepada pelajar terhadap sumbangan negara terhadap peradaban dunia.
Seterusnya, hasil Laporan Rahman Talib, Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyusun semula sukatan pelajaran Sejarah Darjah 4 sehingga Tingkatan 3 pada tahun 1960. Dan buat kali pertamanya kurikulum Sejarah diajar menggunakan sukatan pelajaran yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 1967. Pada pertengahan tahun 1986 mata pelajaran Sejarah telah dijadikan mata pelajaran wajib dan dijadikan sebagai salah satu subjek teras dalam pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Kemudian pada tahun 2000, Semakan kurikulum Sejarah telah dilakukan yang lebih berbentuk penyesuaian. Kira-kira 30% kandungan dalam kurikulum Sejarah telah dibuang. Penumpuan kepada tiga aspek penting iaitu kesepaduan elemen ilmu, kemahiran dan penerapan nilai-nilai patriotisme.
Kerajaan telah mengambil pendekatan untuk mewujudkan Jawatankuasa Khas mengkaji kurikulum Sejarah terutamanya penekanan aspek sejarah pembentukan negara, perlembagaan negara, sejarah Malaysia Moden dan perpaduan nasional. Isu kepentingan mata pelajaran Sejarah mula mendapat perhatian dalam prospek pengambilan pelajar ke IPT. Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Datuk Dr. Ir Sahol Hamid Abu Bakar dalam kenyataannya mensyaratkan bahawa bagi pelajar-pelajar yang ingin mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh UiTM mulai pengambilan Julai 2011 perlulah mempunyai Kepujian Sejarah. Beliau berkata, penetapan sejarah sebagai salah satu syarat kelayakan itu bertujuan menyedarkan generasi penuntut hari ini tentang perjuangan pemimpin negara dari dahulu hingga sekarang. Bahkan, isu ini turut dibahaskan oleh pelbagai pihak tidak kiralah parti politik dan badan-badan bukan kerajaan untuk memastikan verifikasi dasar penetapan mata pelajaran Sejarah sebagai subjek teras di sekolah rendah dan syarat wajib lulus SPM mampu mencapai matlamatnya.
Kini, perkembangan kurikulum Sejarah terus menarik untuk diperbincangkan. Kurikulum Sejarah terus mendapat perhatian daripada pihak berwajib. Ini berikutan langkah Kementerian Pelajaran Malaysia menjadikan Sejarah sebagai subjek WAJIB lulus pada tahun 2013 di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan subjek teras untuk sekolah rendah mulai 2012. Perkembangan ini dilihat telah meletakkan status mata pelajaran ini setara dengan mata pelajaran teras yang lain. Mata pelajaran Sejarah akan mula diperkenalkan di semua sekolah rendah pada tahun 2014 selari dengan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan menekankan aspek Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial.

Menurut Senator Datuk Dr Firdaus Abdullah (Pakar Rujuk di Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya) dalam ruangan Rencana Utusan Malaysia bertarikh 6 November 2010 telah mencadangkan agar kurikulum Sejarah dikaji semula berasaskan aspek periodisasi atau pembatasan masa proses negara Malaysia sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka sehingga Wawasan 2020. Cadangan periodisasi itu ialah Tahap I Pra-Melaka, Tahap II Era Kesultanan Melayu Melaka (1400-1511), Tahap III  Persaingan Kuasa-Kuasa Eropah (1511-1786), Tahap IV Kemaraan Inggeris dan Pembangunan Negeri-Negeri Selat (1818-1856), Tahap V Kemantapan Kuasa Kolonial Inggeris (1874-1942), Tahap VI Pendudukan Jepun (1942-1945), Tahap VI Perundingan Kemerdekaan dan Permulaan Kerjasama Politik Antara Kaum (1946-1957), Tahap VII Tahun-Tahun Awal Kemerdekaan (1957-1969), Tahap VIII, Pelaksanaan DEB (1970-1990), Tahap XI Menuju Wawasan 2020 dan Gagasan 1 Malaysia Langkah proaktif pihak KPM yang mewujudkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah di sekolah menengah dilihat kena pada waktunya. Ini memastikan kurikulum yang digubal benar-benar memberi impak kepada pemahaman dan penghayatan Sejarah secara lebih menyeluruh dalam kalangan pelajar.

0 comments:

Post a Comment