TUGASAN ESEI KUMPULAN 1

Thursday, 18 July 2013


SOALAN ESEI MINGGU 3 :

Sistem pendidikan negara kita ada masa kini merupakan kesinambungan daripada Zaman Kesultanan Melayu Melaka. Bincangkan.

AHLI KUMPULAN :

Syazwan, Fahmi, Aisyah, Zuraihah, Amira

Era ini merupakan salah satu bentuk pendidikan yang berkisar kepada pembelajaran secara turun-temurun yang diwariskan kepada generasi seterusnya. Perkara ini bermaksud pendidikan hari ini adalah kesinambungan daripada pendidikan zaman melayu melaka. Pembangunan insan berdasarkan proses pembelajaran untuk melahirkan insan yang berkemahiran, berkebolehan dalam aspek teknik dan praktikal.

           Pendidikan era melayu melaka diajar oleh ibu bapa, ahli keluarga dan masyarakat sekeliling. Ibu bapa khususnya memberi tunjuk ajar berdasarkan kemahiran yang dimiliki. Jika bapa seorang nelayan sudah tentu perkara yang diajarkan kepada anaknya adalah berkaitan dengan teknik menangkap ikan, menghadapi gelora dan sebagainya. Di samping itu, ibu akan mengajar anaknya kemahiran memasak, mencuci dan segala yang berkaitan dengan pekerjaan di rumah. Matlamat pendidikan lebih cenderung untuk melahirkan generasi yang mempunyai adab sopan, hormat antara satu sama lain dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam bidang yang dipelajari. Hal ini bertepatan dengan pendapat Hasan Langgulung (1995) yang mengatakan bahawa fungsi pendidikan adalah pengembangan potensi yang ada pada individu supaya dapat digunakan olehnya dan masyarakat untuk menghadapi arus perubahan. Pendidikan pada hari ini adalah berteraskan konsep atau matlamat yang sama iaitu untuk perkembangan potensi individu. Walaubagaimanapun, pendidikan pada hari ini lebih maju setelah mengalami transformasi pendidikan.

                Selain itu juga, kesinambungan daripada zaman kesultanan melayu Melaka dalam sistem pendidikan dalam negara kita dapat dilihat daripada beberapa aspek. Pertamanya, kedatangan Islam pada abad ke-15 ke rantau Asia menjadikan sistem pendidikan pada masa itu berteraskan agama Islam. Jika kita lihat dalam sistem pendidikan di negara kita pendidikan Islam di negara kita begitu dititikberatkan. Hal ini dapat dibuktikan walaupun negara kita telah mengalami beberapa fasa perubahan dalam sistem pendidikan Pendidikan Islam masih menjadi subjek teras kepada pelajar Islam. Selain itu, kewujudan sekolah agama Islam pada sesi petang serta sekolah agama pada peringkat menengah. Di sini, kita dapat lihat bahawa pengajian Islam di negara kita merupakan kesinambungan daripada zaman kesultanan melayu Melaka.

Pengaruh sistem pendidikan pada zaman kesultanan Melayu Melaka terhadap sistem pendidikan sekarang dapat kita lihat terutamanya terhadap sistem pendidikan  tidak formal negara kita. Pengajian agama masih diteruskan di surau-surau pada waktu malam dengan buku-buku terdiri dari kitab-kitab karangan ulama. Cumanya yang berbeza ialah pada zaman kesultanan Melayu Melaka pengajian agama ini banyak dititikberatkan terhadap kerabat-kerabat raja dimana istana pada waktu tersebut berfungsi sebagai pusat penterjemahan dan penyimpanan kitab-kitab agama. Pengajian agama juga dijalankan di pondok-pondok yang diasaskan oleh ulama-ulama. Guru-guru terdiri daripada syeikh-syeikh dari dalam negara mahupun dari luar negara. Sistem pendidikan agama tidak formal ini nampaknya masih diteruskan sehingga sekarang.
Umum mengetahui sistem pendidikan yang mula-mula wujud di negara kita adalah sistem pendidikan yang diamalkan pada zaman kesultanan Melayu Melaka. Permulaan sistem pendidikan pada zaman tesebut boleh dibahagikan kepada sistem pendidikan formal dan tidak formal. Dalam pendidikan formal, pengajian ataupun pembelajaran berfokuskan pembelajaran agama, sebelum kedatangan Islam penduduk setempat yang ingin menimba ilmu hendaklah belajar di candi-candi ataupun tempat beribadah yang lain, namun setelah kedatangan Islam ke Tanah Melayu sistem pendidikan kini telah berubah dan tempat pengajian bukan setakat di rumah-rumah ibadah seperti surau ataupun masjid tetapi juga berpusat di Istana.

                    Perkembangan pendidikan pada era ini juga telah menghasilkan Sekolah Pondok dan Madrasah untuk mempelajari bidang ilmu yang lebih luas. Pembelajaran yang diajar berteraskan kepada agama Islam seperti Tauhid, Akidah dan Akhlak. Intitusi pendidikan berpaksikan kepada falsafah pendidikan Islam ini mampu melahirkan masyarakat yang menjiwai agama pada setiap masa dan mengaplikasinya dalam kehidupan seharian. Hala tuju pengajian pada peringkat ini berkesan untuk menjadi pendorong kemajuan manusia dalam aspek kerohanian, pemikiran, moral dan keduniaan berdasarkan falsafah pendidikan agama melalui keunggulan pendidikan Islam yang diterapkan dalam pembelajaran.

                  Jadi jelaslah bahawa pendidikan zaman kini adalah kesinambungan pendidikan melayu melaka. Jika kita lihat, kebanyakan aspek dalam pendidikan masa kini merupakan transformasi dan pembaharuan daripada pendidikan dahulu. Perkara ini sangat penting bagi memastikan pendidikan yang lebih bermutu di negara kita standing dengan peredaran global.

0 comments:

Post a Comment