Sunday, 1 September 2013
SOALAN ESEI MINGGU 11:
Huraikan latar belakang kurikulum Sejarah di Tanah Melayu sehingga ke hari ini.
Ahli Kumpulan:
Joejie, Omar, Rafidah, Suhana, Wawa
Pendidikan
di Malaysia pada asasnya dapat dibahagikan kepada dua zaman iaitu zaman sebelum
merdeka dan zaman selepas merdeka. Maka itu, perkembangan kurikulum sejarah di
Tanah Melayu juga mengikut perubahan zaman tersebut. Sememangnya sejak zaman
sebelum merdeka lagi mata pelajaran sejarah merupakan mata pelajaran yang
dianggap penting dan perlu diajar di sekolah. Secara amnya perkataan sejarah
itu sendiri membawa maksud peristiwa yang benar-benar berlaku pada waktu
lampau. Apabila menyebut peristiwa, kebiasaannya yang dirakamkan ialah tentang
peristiwa yang melibatkan jatuh bangun sesebuah negara atau bangsa. Oleh yang demikian, melalui
sejarah sesebuah kerajaan boleh mengagungkan zaman-zaman kegemilangannya pada
masa lampau yang seterusnya dapat membentuk perasaan bangga di kalangan
rakyatnya.
Pendidikan sejarah di zaman British
iaitu zaman sebelum merdeka diperkenalkan bertujuan untuk memenuhi kepentingan
dan matlamat kolonialisme British di Tanah Melayu. Di mana, kandungan kurikulum
pendidikan sejarah pada ketika itu adalah lebih menjurus kepada negara kolonial
British atau bersifat western centric. Topic-topik yang diperkenalkan dalam
pendidikan sejarah pada ketika itu adalah berkaitan dengan sejarah-sejarah Eropah.
Hal ini berlaku kerana, kerajaan British yang memerintah Tanah Melayu pada
ketika itu mahu penduduk Tanah Melayu mengagungkan kegemilangan British. Maka
itu, semangat patriotisme atau semangat cintakan tanah air sendiri tidak dapat
diwujudkan dalam diri rakyat Tanah Melayu pada ketika itu. oleh yang demikian,
dapat dilihat bahawa sebelum perang dunia kedua penentangan terhadap kuasa
kolonial British adalah kurang, ini menunjukkan bahawa kurangnya kesedaran di
kalangan penduduk Tanah Melayu untuk membebaskan tanah air mereka dari belenggu
penjajahan.
Seterusnya, pada peringkat awal
pendidikan sejarah diperkenalkan di sekolah-sekolah aliran Melayu adalah lebih
bersifat kesusasteraan Melayu Klasik. Di mana, pendidikan sejarah tempatan
tidak ditekankan oleh British kerana bimbang akan menggugat kepentingan politik
dan ekonominya. Pengaruh kurikulum British dalam pendidikan sejarah semakin
berkurangan hanya selepas negara telah mencapai kemerdekaan. Manakala kurikulum
sejarah bagi sekolah vernakular Cina dan India yang pada asalnya lebih menjurus
kepada sejarah negara asal tamat apabila Laporan Razak dikemukakan pada tahun
1956. Hal ini dilakukan sebagai persediaan kepada negara yang akan mencapai
kemerdekaan dan bagi memastikan sukatan pengajaran dan peperiksaan yang sama
dilaksanakan demi perpaduan kaum di negara ini.
Perkembangan terhadap kurikulum
pendidikan sejarah terus berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan, di mana
kesedaran mengenai perpaduan dan integrasi kaum mulai berlaku. Pada tahun 1973,
terdapat perbincangan untuk mengkaji semula kurikulum sejarah . Hal ini kerana,
timbul kesedaran mengenai kandungan kurikulum sedia ada yang tidak bersifat
tempatan tetapi masih lagi bersifat western centric. Maka itu beberapa forum
telah diadakan bagi membincangkan perkara tersebut dan hasil dapatan daripada
perbincangan yang dilakukan Kementerian Pelajaran Malaysia telah digesa untuk
menggunakan pendekatan yang lebih berpusatkan ke-Malaysia dalam menggubal
sukatan pelajaran dan penulisan buku teks sejarah. Keadaan ini memperlihatkan
bahawa setelah negara mencapai kemerdekaan kesedaran mengenai perlunya
menggubal kurikulum yang lebih bersifat kepada kenegaraan Malaysia semakin
meningkat.
Pada tahun 1989, Kementerian
Pelajaran Malaysia telah menjadikan mata pelajaran sejarah sebagai mata
pelajaran teras dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), di mana
murid di semua sekolah kerajaan wajib mempelajari mata pelajaran sejarah secara
berterusan selama lima tahun iaitu bermula dari Tingkatan 1 sehinggalah ke
Tingkatan 5. Usaha murni kerajaan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan
pengetahuan sejarah negara di kalangan pelajar sekolah di samping memupuk nilai
patriotisme. Di mana, kandungan Kurikulum Sejarah
KBSM disusun secara bersepadu merangkumi unsur-unsur ilmu, kemahiran dan
penerapan nilai patriotisme selari dengan aspirasi Falsafah Pendidikan Negara
dan matlamat pendidikan iaitu ke arah membangunkan individu yang seimbang dari
segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.
Dengan adanya pengetahuan sejarah negara serta nilai patriotisme dalam diri
setiap rakyat Malaysia, maka ia sudah tentunya akan dapat membentuk
keperibadian yang tinggi serta menyemarakkan lagi semangat cintakan negara.
Perkembangan terhadap kurikulum
sejarah yang terbaru pada masa kini ialah pihak Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) sedang melakukan transformasi kurikulum sejarah yang akan dilaksanakan
pada tahun 2014 dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) bagi sekolah
rendah dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) bagi sekolah menengah
mulai 2017. Dalam KSSR mata pelajaran sejarah akan diajar sebagai mata
pelajaran teras untuk murid Tahap 2 iaitu bermula dari Tahun 4 hingga Tahun 6. Mata
pelajaran sejarah diperkenalkan di peringkat rendah dengan hasrat memberikan
penekanan kepada pembangunan sahsiah murid di samping pemupukan nilai-nilai
keperibadian mulia dan semangat kewarganegaraan. Manakala bagi kurikulum
sejarah dalam KSSM lebih menitikberatkan kepada pengetahuan dan pemahaman
Sejarah Malaysia, Pembinaan Negara Bangsa dan Sejarah Negara Luar. Dengan itu,
pelajar di peringkat sekolah menengah akan mempunyai perspektif yang lebih luas mengenai proses
perkembangan masyarakat dan negara serta melihat secara perbandingan akan
sejarah dalam dan luar negara. Hal ini sudah tentunya akan dapat memupuk rasa
bangga tentang warisan dan kejayaan negara ke arah pemantapan semangat
perpaduan dan patriotism.
Justeru itu, pendidikan sejarah
sememangnya merupakan subjek yang amat penting dan kini ia telah mata pelajaran
teras yang wajib untuk dipelajari oleh setiap murid. Hal ini kerana, mata
pelajaran sejarah merupakan antara saluran yang paling berkesan untuk
meningkatkan perpaduan kaum, semangat cintakan negara serta menerapkan
nilai-nilai murni terutamanya di kalangan generasi muda pada masa kini.
0 comments:
Post a Comment