Sunday, 1 September 2013
SOALAN ESEI MINGGU 11:
Huraikan latar belakang kurikulum Sejarah Tanah Melayu sehingga ke hari ini.
Ahli Kumpulan:
Aisyah, Zuraihah, Amira, Fahmi, Syazwan
Perkembangan arus semasa yang pesat telah mendesak
pelbagai negara untuk mengkaji semula kurikulum pendidikan yang digunakan. Pada
kebiasaannya sesuatu kurikulum itu digubal, dimansuh atau diganti adalah
disebabkan oleh perkembangan dunia globalisasi. Setiap perubahan itu perlulah
dilihat dari aspek akar umbi iaitu mengenai kurikulum bagi setiap subjek yang
ditawarkan dalam pendidikan. Maka dengan itu, pada kali ini kita akan
membincangkan serba sedikit mengenai sejarah kurikulum Sejarah di Malaysia pada
zaman sebelum merdeka hingga ke hari ini.
Sebelum
itu, kita perlu tahu mengenai asas penggubalan kurikulum Sejarah di Malaysia.
Kurikulum Sejarah yang dibina haruslah menggambarkan Malaysia sebagai negara
yang bebas, merdeka dan berdaulat. Pendekatan dan pemilihan tajuk yang menjadi
kurikulum sejarah seharusnya mengikut kaca mata masyarakat Malaysia dan
bukannya berlandaskan pemikiran dan pandangan Barat semata-mata.
Pendidikan
Sejarah di Malaysia telah bermula sejak zaman kolonial British lagi. Namun
begitu pada waktu tersebut, subjek sejarah hanya dianggap sebagai mata
pelajaran tambahan dan bukannya mata pelajaran induk. Pada abad ke-19 subjek
Sejarah telah diperkenalkan di sekolah-sekolah Inggeris di negeri-negeri selat yang
ada masa itu antaranya, Penang Free School, Pulau Pinang, St. Xavier dan
Convent. Aras subjek Sejarah pada ketika itu adalah pada peringkat darjah
tinggi atau bersamaan dengan peringkat menengah rendah sekarang. Disebabkan pengaruh
dan kuasa klonial British yang terlalu berpengaruh, maka sejarah mengenai
negara tersebut dilihat diberi keutamaan dalam kurikulum Sejarah pada waktu
itu. Bukan itu sahaja, sejarah yang terkandung juga hanyalah berunsurkan
politik. Kandungan yang ada memperlihatkan bagaimana kuasa British telah
membawa perubahan positif dan kemajuan kepada sesebuah negara, Paparan sejarah
seperti ini akan mempengaruhi minda para pelajar supaya mereka memperakui
kehebatan British.
Selain
itu, pihak British percaya bahawa jika orang tempatan tidak mengenali budaya
British, maka hubungan antara pihak pentadbir dengan golongan yang ditadbir,
akan menjadi renggang. Oleh yang demikian, pengenalan sejarah negara mereka
dilihat dapat mengukuhkan kedudukan mereka di Tanah Melayu. Selain sejarah
dunia dan sejarah British, selepas berlakunya perang dunia kedua sejarah
empayar British pula di perkenalkan (sekarang dipanggil Komanwel). Sebagai
tanda kebanggaan mereka terhadap pencapaiannya yang dapat mendominasi satu kawasan yang begitu luas di luar
Britain. Ini secara tidak langsung memperlihatkan Britian sebagai negara yang
berperikemanusiaan, bertamadun dan bertujuan mulia. Selain itu, secara
ringkasnya seluruh isi kandungan subjek Sejarah hanyalah mengamalkan konsep Europe Centric.
Corak
dan isi kandungan pendidikan Sejarah di
Tanah Melayu telah melalui perubahan sejurus selepas perang dunia kedua
berakhir. Japatan Sejarah Universiti Malaya yang ditubuhka pada tahun 1949
telah memberi galakkan penyelidikan tentang sejarah di Malaysia. Namun begitu
isi kandungan yang sedia ada sebelum ini tetap dikekalkan. Cumanya berlaku
penambahan pada sejarah Negara dan sejarah negara Asia yang lain seperti Asia
Barat, Asia Timur dan Asia Tenggara. Penambahan ini telah mengurangkan penumpuan
dan fokus mengenai sejarah Britain.
Sejurus
selepas kemerdekaan negara Malaysia maka, konsep pendekatan sejarah
berlandaskan Europe Centric telah diubah menjadi Malaysian Centric. Antara contoh perubahan yang dilakukan
berlandaskan konsep tersebut ialah berkaitan perjuangan tokoh-tokoh tempatan
yang selama ini dianggap adalah penjenayah diubah menjadi wira bangsa. Sejarah
tempatan telah dibawa masuk dengan banyak dalam kurikulum Sejarah. Jika dilihat
Kurikulum Sejarah 1977, hasrat negara pada ketika itu adalah untuk memastikan
enam matlamat subjek ini tercapai antranya, mengenali keperibadian kebangsaan
melalui sejarah tanah air agar para pelajar akan berasa bangga menjadi
warganegara. Selain itu, kurikulum tersebut perlu memupuk semangat kekitaan terhadap
masyarakat dan negara sebagai satu unit tunggal supaya dapat membentuk
perpaduan yang erat di kalangan masyarakat.
Pada
tahun 1988, kerajaan Malaysia telah memperbaharui kurikulum sejarah dengan
diberi nama Kurikulum Sejarah 1988. Hal ini bersesuian dengan keperluan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah . Abdul Rahim Abdul Rashid (1989)
menyatakan bahawa ada tujuh objektif dari segi objektif pengajaran sejarah
antaranya yang paling utama ialah, memahami dan menghargai ciri-ciri
kemasyarakatan dan kebudayaan Malaysiaserta mengamalkannya dalam kehidupan
seharian. Oleh itu, secara ringkasnya dapatlah kami membuat sedikit perbezaan
mengenai kurikulum sejarah sebelum merdeka dan selepas merdeka. Berikut
merupakan perbezaannya :
Kurikulum Sebelum Merdeka
|
Kurikulum Selepas Merdeka
|
Banyak unsur-unsur
sejarah luar
|
Lebih menumpukan
sejarah tempatan
|
Jalinan antara
kandungan tidak jelas.
|
Jalinan antara
kandungan bagi tiap-tiap peringkat
|
Mementingkan bahan
dan isi
|
Menekankan aspek
kesan yang efektif
|
Menjaga kepentingan
politik Kolonial
|
Menitikbertakan
soal sosio ekonomi dan sosial
|
Kurikulum
sejarah selepas merdeka meletakkan Sejarah Kesultanan Melayu Melaka sebagai
permulaan sejarah di Malaysia. Hal ini berikutan kerana sejarah tersebut
dilihat lebih jelas dari sudut bahan arkeologi dan dokumennya. Seterusnya para
pelajar akan diperkenalkan mengenai sejarah tamadun-tamdun awal dan
perkembangan tamadun. Selepas itu zaman sejarah zaman penjajahan dan
pembentukkan negara Malaysia. Penyusunan kronologi isi kandungan seperti ini
dilihat mampu memberi gambaran dan kefahaman yang jelas kepada para pelajar
mengenai apa yang ingin disampaikan.
Usaha
kerajaan tidak terhenti sampai di sini sahaja. Berikutan keadaan semasa yang
lebih menuntut untuk kanak-kanak mengetahui sejarah juga adalah penting maka,
subjek ini telah diperkenalkan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah atau
KSSR pada tahun 2008.. Transformasi pendidikan yang dilakukan memperlihatkan
bertapa pentingnya subjek Sejarah ini diperkenalkan pada peringkat awal lagi
dan ia dilihat merupakan satu penghormatan terhadap subjek ini yang selama ini
tidak menjadi suatu subjek yang penting. Tindakkan Kementerian Pendidikan
Malaysia yang meletakkan syarat subjek Sejarah merupakan subjek wajib lulus di
peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjelaskan kepada kita bertapa
komitednya usaha kerajaan dalam melahirkan masuarakat yang berpengetahuan
sejarah. Di bawah KSSR, subjek Sejarah telah diletakkan diorganisasikan secara
modular dalam Model Teras Asas bertunjangkan prinsip kemanusiaan. Penawaran subjek ini dilihat mampu memberikan
impak kepada para pelajar khususnya berkaitan dengan sejarah asas negara. Oleh
itu, subjek Sejarah dilihat wajar untuk didedahkan kepada para pelajar
peringkat sekolah rendah bagi merealisasikan hasrat negara untuk melahirkan
masyarakat yang bersatu padu dan berjiwa patriotisme.
Kesimpulannya,
perkembang kurikulum subjek Sejarah tidaklah begitu banyak namun, perubahan apa
yang berlaku boleh dikatakan agak drastik. Lihat sahaja perbezaan antara
kurikulum sejarah sebelum merdeka dan selepas merdeka. Walau sejauh mana hebat
dan teliti sekalipun kurikulum tersebut, guru sebagai pelaksana perlulah
mewujudkan satu pembelajaran Sejarah yang berkesan.
0 comments:
Post a Comment