Thursday, 12 September 2013
Kumpulan 5 : Faiz, Faez Jawawi, Jay, Ilya, Husna
Dalam konteks pembinaan
negara bangsa, kepentingan sejarah sebagai mekanisme utama telah disuarakan
sejak sekian lama oleh pelbagai pihak. Wang Gung Wu umpamanya mengangkat
martabat sejarah dari sudut kepentingan mengingati masa lalu khususnya dalam
membentuk keperibadian sesuatu kumpulan, puak atau masyarakat Menurut Sartono Kartodirdjo pula,
pendidikan sejarah berperanan sebagai alat didaktik khususnya sebagai tunjang
pendidikan nasional. Dalam hal ini, pengetahuan sejarah khususnya sejarah
nasional akan membolehkan sesuatu bangsa terutamanya generasi muda menjadi lebih
prihatin terhadap bangsa dan pembangunan negaranya. Dengan keprihatinan
terhadap sejarah secara tidak langsung membolehkan seseorang itu menunaikan
tanggungjawabnya sebagai seorang warganegara. Dengan sifatnya sebagai alat
memahami masa lalu serta fungsinya sebagai pedoman, pengajaran dan panduan
membolehkan sejarah diberikan tempat istimewa dalam sistem pendidikan sesebuah
negara.
Di Malaysia, ia juga bukanlah satu
persoalan baru di negara ini. Sejak kemerdekaan hingga kini isu sejarah dan
peranannya dalam pembinaan negara bangsa terus dibahaskan dan dinobatkan
sebagai agenda utama negara. Sekadar memetik beberapa pandangan, isu ini jelas
menjadi agenda utama negara khususnya sejak peristiwa 13 Mei 1969. Bekas
Menteri Dalam Negeri Malaysia 1980, Tan Sri Muhammad Ghazali Shafie dalam
ucapan perasmian persidangan International Association of Historians of Asia
(IAHA) 1980 mengungkapkan kepentingan tersebut. Menurut beliau :
“Every
person, society or nation has a past which has moulded his or its present
stature and together the past and the present mould his future. But the choice
of his future image depends on his present beliefs of his history, of what he
reckons he is and what he believes others believe of him”.
(Ghazali Shafie, 1980 : 3)
Tegas
beliau juga : “When people have lost
their confidence and faith in their history because of oversimplistic historicism
or intense subjectivism or for whatever reasons then story become wearisome and
its study irrelevent”. (Ghazali Shafie, 1980 : 18)
Di Malaysia, mata pelajaran sejarah diajar
sejak pentadbiran British namun ia tidak bersifat mata pelajaran induk selaras
dengan dasar pendidikan British yang membiarkan sistem persekolahan berkembang
mengikut aliran berasaskan kaum sehingga mencetuskan kelas berbeza di kalangan
penduduk Tanah Melayu. Sedikit perubahan terhadap pendidikan sejarah di Tanah
Melayu hanya berlaku pada 1918 susulan pengenalan mata pelajaran Tawarikh di
peringkat sekolah dan maktab susulan berakhirnya Perang Dunia Kedua dan
penubuhan Jabatan Sejarah Universiti Malaya pada 1949 memberikan nafas baru
kepada pendidikan sejarah di Malaysia. Melaluinya, penyelidikan dan penulisan
ilmiah menjadi agenda utama yang secara tidak langsung memperluaskan ufuk
pengkajian dan pengetahuan tentang sejarah negara. Selepas negara mencapai
kemerdekaan sehingga kini, pendidikan Sejarah yang dirangka memberikan tumpuan
kepada pembinaan dan penyatuan bangsa Malaysia. Matlamat ini menekankan proses
pembinaan generasi baru Malaysia yang bersatu padu dan berpengetahuan khususnya
melalui elemen bahasa dan kekuatan budaya bangsa. Sekolah pula berperanan sebagai
institusi penting bagi mencapai matlamat tersebut melalui proses pengajaran dan
pembelajaran.
Matlamat ini tidak mustahil dicapai
jika semua rakyat Malaysia mempunyai kesedaran, menghayati sejarah, menyedari
kedudukan diri dan menjadikan pendidikan sejarah sebagai alat terpenting bagi
mencapai matlamat tersebut. Akta Pendidikan 1995 umpamanya menekankan
kepentingan ilmu sebagai penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat
bangsa. Akta yang sama turut menegaskan peri penting Dasar Pendidikan
Kebangsaan yang akan diterapkan melalui sistem pendidikan kebangsaan bagi
memenuhi keperluan negara serta memupuk perpaduan negara dalam pelbagai bidang
melalui sektor pendidikan. Bagi sebuah negara berbilang kaum seperti Malaysia,
integrasi nasional merupakan persoalan yang sangat rumit dan menyukarkan proses
pembinaan negara bangsa. Dasar Pendidikan Kebangsaan menggariskan mata pelajaran
sejarah sebagai alat utama bagi merealisasikan matlamat tersebut. Penekanan
pendidikan sejarah tertumpu terhadap kesedaran sejarah, toleransi dan kepekaan
masyarakat untuk berkongsi tanggungjawab terhadap masa depan negara.
Unsur penting dalam pengajaran
sejarah turut meliputi pembinaan semangat kebangsaan. Bagi negara seperti
Malaysia, semangat tersebut amat diperlukan untuk mencapai hasrat satu negara
dan impian yang serupa bagi rakyat Malaysia. Patriotisme merupakan elemen utama
dalam pendidikan sejarah yang bertujuan membina kesedaran dan mengukuhkan
semangat perjuangan dan cintakan bangsa dan negara. Elemen tersebut bermatlamat
melahirkan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, sedia berbakti dan sanggup
berkorban untuk kepentingan negara. Hal ini pernah diutarakan oleh Tun Dr.
Mahathir. Menurut beliau :
“ Kalau semangat patriotisme sudah tidak ada di kalangan belia, kita bimbang apabila generasi muda dewasa kelak, mereka sudah tidak sayang pada bangsa dan negara sendiri. Dengan itu amat mudah bagi orang asing untuk menghasut mereka dan akan bersubahat untuk menghapuskan kebebasan negara kita “.
Sejarah juga boleh dijadikan asas
rujukan penting bagi membina aspirasi baru untuk membangunkan maruah, martabat
dan kewibawaan sesuatu bangsa. Pendidikan sejarah juga dapat memainkan peranan
dalam pembinaan negara bangsa apabila dapat mencetuskan inspirasi melalui
tema-tema yang terdapat dalam sukatan kandungan matapelajaran tersebut. Melalui
pendidikan sejarah juga, nilai kesetiaan dapat dipupuk dan ditanamkan sebagai
satu nilai hidup yang penting bagi membina dan meningkatkan komitmen generasi muda
kepada negara dan bangsa. Nilai kesetiaan ini akan dapat mengukuhkan ketahanan
negara dan mendorong semangat ingin berkorban dan berbakti kepada bangsa dan
negara.
Pendidikan sejarah juga berfungsi
menerapkan nilai kewarganegaraan dan membentuk generasi muda menjadi
warganegara yang berguna kepada bangsa dan negara. Nilai kewarganegaraan ini
meliputi kebanggaan sebagai rakyat Malaysia, bersemangat setia negara,
bersemangat kekitaan, berdisiplin, berusaha dan produktif. Ringkasnya, pendidikan
sejarah merupakan proses mendidik melalui kaedah dan proses pembinaan sejarah
sebagai satu disiplin ilmu melalui alat, prosedur dan kaedah tertentu.
Seterusnya ilmu ini akan meneliti, memahami, menghurai, menginterprestasi dan
seterusnya membina keseluruhan mengenai sesuatu perkara, kejadian atau fenomena
yang berkaitan dengan kehidupan manusia pada zaman lampau. Kesemua ini
dinyatakan dengan jelas dalam huraian sukatan mata pelajaran sejarah.
0 comments:
Post a Comment