Thursday, 12 September 2013
SOALAN ESEI MINGGU 12
SOALAN 3 : Kedaulatan negara Malaysia adalah lanjutan
daripada warisan dan tradisi Negara yang disanjung dan dipelihara sehingga ke
hari ini. Jelaskan.
Kumpulan 6 : Amir, Asyraf, Huda, Jamilah, Atiqah
Kejayaan Malaysia mengekalkan
statusnya sebagai negara sedang membangun merupakan sesuatu yang amat membanggakan
bagi semua rakyat negara ini. Namun, arus globalisasi mendorong Malaysia untuk
menjadi sebuah negara maju dan setanding dengan negara-negara maju yang lain. Maka,
pelbagai dasar telah digubal dan cuba dilaksanakan bagi meningkatkan
pembangunan negara untuk mencapai status negara maju. Salah satunya adalah
matlamat wawasan 2020. Antara inti pati matlamat wawasan 2020 adalah
pembentukan negara bangsa yang menjadi isu hangat negara kita pada hari ini. Persoalannya,
adakah Malaysia mampu mempertahankan kedaulatan negara Malaysia hasil lanjutan
daripada warisan dan tradisi negara yang disanjung dan dipelihara sehingga hari
ini?
Negara bangsa ialah
negara berdaulat yang didiami oleh satu bangsa. Negara bangsa membentuk sebuah
negara dengan rakyatnya hidup bersatu padu, berkeyakinan, harmoni, mempunyai
daya saing yang tinggi dan mempunyai semangat patriotik yang kental. Rakyatnya
akan menikmati kehidupan berasaskan persamaan hak, keadilan dan mempunyai
keyakinan yang tinggi terhadap sistem pemerintahan negara. Faktor-faktor yang
membawa kepada pembentukan negara bangsa ialah lingua franca, integrasi,
kewarganegaraan, patriotisme dan demokrasi. Dalam usaha pembentukan negara
bangsa ini, kerajaan memfokuskan dan melaksanakan strategi iaitu memperkasa
Bahasa Kebangsaan, memantapkan perpaduan negara dan integrasi nasional, memupuk
kecintaan terhadap seni, warisan dan budaya bangsa serta membina jati diri dan
semangat patriotik dalam diri individu.
Warisan budaya dan
tradisi yang terdapat di Malaysia harus dikekalkan kerana mempunyai identiti
tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di
negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan
sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita semakin lenyap
ditelan arus pemodenan. Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan
budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya,
keunikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan
cara pemakaian serta berwarna-warni.
Budaya tradisional kita
juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan
dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran
menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Ramai orang
asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari
kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran
menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh
dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
Budaya tradisional juga
dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai
tradisional yang murni. Misalnya, kunjung-mengunjungi dan
mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan,
agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan
sahabat handai saling mengunjungi. Kita saling menerima dan memberi. Semangat
kekitaan ini akan mengeratkan silaturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
Budaya perlu dikekalkan
demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui
asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan
sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat
iktibar. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini,
rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini
berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul
sendiri.
Untuk mengembangkan
budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya
negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk
menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya
sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan
Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu
diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan
identiti negara juga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah
dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat
sepanjang masa.
Warisan tradisional kita
boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung,
wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya.
Perkahwinan campur juga merupakan penggerak kepada pembentukan negara bangsa.
Perkahwinan campur ialah perkahwinan di antara kaum yang berlainan bangsa,
negara dan agama. Hasil daripada perkahwinan campur ini akan melahirkan
generasi-generasi yang akan mempunyai perasaan cinta pada negara dan mempunyai
perpaduan yang utuh dengan kaum lain. Generasi kedua dan ketiga akan lebih
berfikiran terbuka dan bersedia untuk menjadi bangsa Malaysia kerana mempunyai
semangat perpaduan yang tinggi.
Sistem pendidikan juga
boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum dan dalam
mata pelajaran yang diajar oleh guru di sekolah seperti Kajian Tempatan, Sivik
dan Kewarganegaraan, Pendidikan Moral dan Bahasa Melayu. Pertandingan berbalas
pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini
memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini,
budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang
ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat
dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.
Penularan budaya liar
dan pengaruh budaya kuning perlu dicegah kerana ia boleh membawa kehancuran
budaya dan masyarakat negara kita. Di negara membangun, pengaruh dan kesan
budaya asing yang negatif sangat hebat. Satu demi satu negara jatuh di bawah
perangkap penjajahan budaya, sekalipun negara berkenaan telah mencapai
kemerdekaan. Masyarakat beradab adalah masyarakat yang sedar di mana bumi di
pijak di situ langit di junjung. Falsafah yang harus dijunjung adalah
perjuangan mengisi ikrar setia sebagai bangsa yang satu , warganegara yang
memiliki maruah dan jiwa besar dengan kecintaan dengan sumber ilhamnya kepada
sebuah negara Malaysia. Matlamat akhir masyarakat berbudaya haruslah menjurus
kepada kebanggaan negara dan kedaulatan bangsa . Untuk itu bangsa Malaysia yang
dinamik perlu mempunyai identiti untuk mewujudkan bangsa yang bertamadun dan
gemilang (A.Aziz Deraman , 2000 :3 ).
Sebagai intiha, identiti
bangsa sendiri perlu dipertahankan dan diperkenalkan untuk mengekalkan
kedaulatan negara. Dalam misi mengekalkan kedaulatan negara, penglibatan
daripada semua pihak, termasuklah pemerintah dan rakyat, adalah sangat
dituntut. Setiap individu ini seharusnya mengambil peranan masing-masing dalam
melahirkan modal insan yang bertaraf tinggi. Di samping itu, mengamalkan konsep
rukun negara sekali gus menerapkan nilai-nilainya ke dalam diri juga merupakan
aspek yang perlu dilaksanakan dan dipelihara dalam usaha mengembalikan
perpaduan semua kaum di Malaysia selain melahirkan masyarakat yang progresif,
demokratik dan bersifat terbuka, dan sekali gus mempertahankan maruah dan
kedaulatan negara tercinta ini.
0 comments:
Post a Comment