SOALAN 3 : KUMPULAN 4

Thursday, 12 September 2013

SOALAN ESEI MINGGU 12

SOALAN 3 : Kedaulatan negara Malaysia adalah lanjutan daripada warisan dan tradisi Negara yang disanjung dan dipelihara sehingga ke hari ini. Jelaskan.

Kumpulan 4 : Syafiq, Khobir, Nora, Syaza, Zaidah

Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu kedaulatan negara. kedaulatan selalu menjadi isu bualan masyarakat setempat. Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini Kedaulatan amat penting kerana ia dianggap satu aset bagi mempertahankan kemerdekaan dan ketuanan negara untuk  tidak  terus  dijajah  atau  di‘jajah’. Kedaulatan merupakan perkara asas dalam sesebuah negara. Perkataan kedaulatan bermaksud kuasa tertinggi yang dimiliki oleh sesebuah negara. Kemunculan  konsep daulat negara ini  dipengaruhi  oleh  proses  pertumbuhan  negara  moden.  Secara  umumnya kedaulatan merupakan kuasa tertinggi yang dimiliki oleh sesebuah institusi dalam masyarakat, politik untuk membuat keputusan tentang hal-hal yang berhubung dengan pentadbiran dan politik. Sehubungan dengan ini, kedaulatan negara ini adalah lanjutan daripada warisan dan tradisi Negara yang sentiasa dipelihari sejak dari awal kurun pemerintahan Melayu Melaka lagi. Kedaulatan negara amat perlu dalam sesebuah negara kerana menegaskan ia satu kuasa yang padu yang harus diterima oleh semua pihak dan tiada sesiapa pun yang boleh melanggar kedaulatan sebuah negara. Ia seharusnya diterima dan dihormati oleh semua individu di dunia ini. Di samping itu, tidak ada kumpulan atau  individu yang boleh mempersoal atau membangkang kuasa tertinggi ini kerana dengan tersebut, hak untuk kebebasan atau hak sebagai rakyat akan ditetapkan. Kedaulatan negara hanya boleh kuasai secara holistik oleh kuasa Tuhan yang sentiasa lebih berkuasa ke atas pemerintah. Jadi apabila membincangkan tentang soal kedaulatan negara ini, maka ia secara tidak langsung mempunyai kaitan dengan soal keselamatan negara.
Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia ialah negara yang mempunyai penduduk pelbagai kaum, agama dan budaya. Walaupun kita pernah dijajah oleh kuasa barat dan jepun selama lebih empat abad, namun hari ini Malaysia berdiri sebagai sebuah negara berdaulat. Pada hari ini kita mempunyai hak dan kuasa sepenuhnya atas urusan pemerintahan dan pentadbiran negara kita sendiri. Hal ini bermakna kita tidak perlu mengikut telunjuk mana-mana kuasa besar bagi menentukan arah dan hala tuju negara sama ada dari segi politik, ekonomi mahupun sosial.Dari segi politik, kita dikatakan mengamalkan sistem demokrasi tetapi tidaklah seratus peratus mengikut sistem demokrasi barat atau mana-mana negara lain di dunia. Demokrasi yang diamalkan di negara kita telah diubah suai mengikut acuan, keperluan dan kepentingan masyarakat berbilang agama dan budaya yang kita warisi sejak dahulu. Hal ini adalah semata-mata untuk menjaga kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dalam negara kita. Jika kita tidak meneruskan segala konsep yang telah diwarisi ini maka kedaulatan negara kita akan sentiasa tercabar. Jadi unsur-unsur pentadbiran yang terdahulu yang memberi kesan positif kepada negara perlulah diperkukuhkan agar kedaulatan yang diwarisi daripada warisan zaman kesultanan melayu Melaka dapat diteruskan. Sebagai contoh asimilasi sistem pembesar empat lipatan dalam pentadbiran negara yang telah diubah suai.
Kebelakangan ini, kedaulatan negara sering diambil endah tak endah oleh anak-anak muda generasi sekarang. Sebenarnya semua ini tidak boleh diberlaku. Hal ini kerana kedaulatan negara perlu dijaga dan dikekalkan. Ini kerana jika kedaulatan negara kita rapuh maka sistem warisan dan tradisi lama tidak dapat diteruskan. Negara yang masih dijajah secara langsung atau tidak langsung oleh kuasa atau pemimpin-pemimpin asing ia mengambarkan kelemahan masyarakat dan pemimpin negara tersebut. Hal ini jelas menunjukkan bahawa kerendahan maruah bangsa dan negara tersebut pada mata dunia jika sesebuah negara itu mengabaikan tentang konsep kedaulatan yang telah lama diperjuangkan. Negara yang dijajah bukan sahaja dipandang hina bahkan tidak dapat menjaga kepentingan rakyatnya kerana sumber kekayaan negara akan dikuasai oleh penjajah atau orang asing. Hal inilah yang telah berlaku semasa negara kita dijajah oleh Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun pada masa dahulu. Bukan itu sahaja, bahkan banyak kekayaan warisan budaya seni dan sastera negara kita telah dibawa keluar oleh penjajah ke negara mereka. Jadi untuk tidak mengalami keadaan seperti dahulu, maka semua masyarakat di negara ini perlulah sentiasa memainkan peranan agar kedaulatan negara kita yang telah lama terbina ini tidak dirampas dan dirobek oelh penjajah begitu saja.
Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan bahawa Kedaulatan negara turut dikaitkan dengan konsep ketinggian Perlembagaan. Hal ini adalah salah satu warisan yang sentiasa dipegang dan disanjung oleh pemerintah negara. Dalam sistem ini ia membawa maksud kumpulan peraturan dan undang-undang yang menentukan organisasi kerajaan dan pembahagian kuasa antara badan-badan pemerintah. Kita dapat menyaksikan bahawa semua ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Fungsi  perlembagaan disini adalah untuk memastikan  wujudnya  keamanan  antara ahli masyarakat  berpandukan peraturan-peraturan yang menjadi panduan kepada semua ahli masyarakat dalam negara. Perubahan-perubahan sentiasa berlaku dalam memperkukuhkan kedaulatan negara. Jadi untuk satu langkah telah diambil untuk mempersiapkan negara untuk lebih aman iaitu sistem perlembagaan bertulis dibuat. Dengan adanya sistem bertulis ini maka undang-undang yang dibuat, digubal dan dipinda tertakluk kepada kuasa yang diperuntukkan oleh perlembagaan.
Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita ini semestinya membuatkan kita sentiasa mengikut kemajuan dunia. Dalam mengikut kemajuan dunia kita perlulah sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan ideologi agar kedaulatan negara tidak terjejajs sehingga negara jatuh ke pihak penjajah. Jadi oleh yang demikian konsep jati diri perlulah sentiasa ada dalam diri individu dalam negara kita ini. Hal ini kerana jika tiada nilai-nilai yang memperkukahkan konsep jati diri maka kedaulatan negara mudah dikuasai oleh tangan penjajah. Aspek ketahanan jati diri yang berteraskan kepada kekuatan mental dan spiritual akan menjadi benteng yang paling berkesan menangani serangan globalisasi. Jati diri dalam erti kata sebuah bangsa  yang  memiliki  ketinggian  akhlak  dan  keperkasaan  tamadun  mengikut  acuan  nilai-nilai kemasyarakatan.  Kekuatan  jati diri  merangkumi  aspek  pertimbangan  moral  iaitu  mempunyai  daya pertimbangan yakni membezakan antara yang benar dan palsu. Di samping itu, benteng jati diri seseorang individu harus disulam dengan semangat patriotisme dan nasionalisme dalam ertikata mempertahankan kedaulatan negara serta memiliki nilai kesetiaan yang tak berbelah bagi terhadap bangsa dan negara. Dalam hal ini kita dapat pastikan apabila masyarakat negara kita sentiasa pegang pada konsep jati diri maka kita tidak perlu risau akan kejatuhan kedulatan negara. Ini kerana dengan adanya masyarakat yang berakhlak mulia, berdaya saing ini akan memperkukuhkan kedaulatan seiring dengan zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi iaitu masyarakat yang sentiasa berdaya saing, berakhlak mulia membuatkan warisan dan tradisi negara sentiasa terjaga. Selain itu, dalam menjaga dan memperkukuhkan kedaulatan negara, ,gandingan mantap seluruh jiwa raga rakyat perlu agar kedaulatan negara tidak dibolosi oleh anasir-anasir luar yang boleh merobek kedaulatan serta keharmonian adat dan budaya masyarakat di Malaysia. Rakyat perlu berganding bahu dan bersatu hati dalam menjamin keselamatan   negara   sentiasa   berada   dalam   tahap   yang   optima   kerana   kelekaan   dalam   soal mempertahankan benteng negara akhirnya boleh membawa kepada neo-kolonialisme. Hal ini sesuai dan ia adalah idea-idea golongan pemerintah negara zaman lalu iaitu sentiasa memperkukuhkan dan berganding bahu menjaga negara agar tidak sewenang-wenangnya dirobek oleh masyarakat asing.
Akhir sekali, tidak dapat kita nafikan bahawa kedaulatan juga dikekalkan dengan adanya hubungan antarabangsa. Jika imbas kembali zaman pemerintahan lama dahulu, negara kita kita juga menjalinkan hubungan negara luar iaitu dengan negara China. Hal ini kerana dengan adanya jalinan ini maka negara kita akan lebih kuat untuk membangun. Sebagai sebuah negara yang berdaulat , Malaysia mengutamakan semangat kerjasama dan berbaik-baik dengan semua negara tanpa mengira ideologi politik . Dari segi keselamatan, negara kita perlu mengelakkan dari sebarang ancaman dari negara-negara luar. Umumnya, keselamatan negara perlulah diutamakan. Jadi untuk memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin maka hubungan luar negara sentiasa dibuat bagi membantu meningkatkan kestabilan negara dan menjaga kedaulatan negara. Jadi kerjasama dengan negara luar ini sangat penting kerana ia dapat meningkatkan ekonomi negara dan disamping itu dpat menjaga sistem politik negara agar sentiasa kukuh.
Kesimpulannya, negara kita Malaysia perlulah memelihara kedaulatan yang sedia ada agar tidak berada dibawah takluk mahupun pengaruh kuasa asing yang hari demi hari sentiasa mencari peluang untuk menjajah kita kembali. Hal ini bermaksud segenap lapisan masyarakat dalam negara ini juga perlulah memainkan peranan penting sama ada golongan pemimpin mahupun rakyat kerana tanpa perpaduan yang padu, keselamatan negara mudah terjejas kerana risiko pembelotan terhadap negara. Kedaulatan negara hanya dapat dipertahankan dengan perpaduan dan semangat cintakan negara serta mengutamakan keselamatan dan kestabilan negara seterusnya melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar terus maju dan berdaya saing diseantero dunia.


0 comments:

Post a Comment