Sunday, 14 July 2013
SOALAN ESEI MINGGU 3
:
Sistem pendidikan negara kita pada masa kini merupakan kesinambungan daripada Zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Bincangkan.
AHLI KUMPULAN :
Faiz Rosli, Faez
Jawawi, Jay, Ilya, Husna
Titik-titik
permulaan pendidikan pada zaman kesultanan Melayu Melaka telah menjadi
kesinambungan di dalam sistem pendidikan negara kita pada masa kini. Namun
begitu, meskipun sistem pendidikan ini telah mengalami evolusi yang panjang dan
liku-liku sejarah tersendiri tetapi ia telah membawa negara kita ke arah
kemajuan yang lebih mencabar terutamanya dalam bidang pendidikan. Walaupun
beberapa aspek sistem ini telah berubah, namun sistem pendidikan di negara kita
tetap kekal dengan fungsinya yang penting dan tersembunyi.
Sebagaimana
yang kita ketahui, sistem pendidikan pada zaman kesultanan Melayu Melaka
berkonsepkan tidak formal di mana mereka belajar berlandaskan pengajaran agama
dan pembelajaran kitab suci al-Quran semata-mata. Pembelajaran yang mereka
pelajari hanyalah berteraskan agama sahaja. Pendidikan ini wujud dan berkembang
bersama-sama dengan perkembangan agama Islam di negeri-negeri Semenanjung Tanah
Melayu dan kepulauan Melayu. Pada ketika ini, sekolah pondok telah wujud dan
telah banyak melahirkan tokoh-tokoh yang disanjungi dalam bidang pendidikan.
Kesinambungan yang dapat kita lihat bahawa sehingga kini banyak sekolah-sekolah
agama atau madrasah di negara kita seperti Sekolah Rendah Agama Rakyat
Mariamiah di Kuala Kangsar dan Sekolah Agama Menengah Hulu Langat di Cheras. Oleh
kerana itu, kita dapat lihat bahawa sistem pendidikan di Malaysia yang
sambung-menyambung tanpa henti sejak zaman kesultanan Melayu Melaka memperlihatkan
bahawa sistem ini telah menjadi sebuah institusi yang hidup dalam masyarakat Malaysia.
Hal ini sangat sinonim dengan peribahasa yang berbunyi ‘Surat atas batu, tidak
akan pupus-pupus’.
Jika
kita lihat pendidikan pada zaman kesultanan Melayu Melaka, di mana istana dijadikan
tempat untuk mempelajari ilmu tentang pengetahuan Islam. Selain itu, istana
juga menjadi tempat terjemahan dan mengumpul kitab agama. Tempat ini sentiasa
menjadi tumpuan untuk golongan-golongan pembesar manakala sekolah pondok pula menjadi
tumpuan bagi rakyat di Melaka untuk mempelajari Islam. Kini, ajaran agama Islam
semakin maju dan berkembang di surau, madrasah dan masjid. Sekolah-sekolah yang
mempunyai murid-murid yang beragama Islam diwajibkan untuk mempelajari matapelajaran
Pendidikan Agama Islam. Hal ini untuk memastikan agar murid-murid dapat mengetahui
dengan lebih jelas tentang agama Islam seterusnya dapat melahirkan insan yang mempunyai
akhlak mulia. Jelas dapat kita lihat bahawa pendidikan yang berteraskan agama
Islam sehingga kini dapat dipertahankan walaupun negara kita dahulu pernah
dijajah oleh kuasa-kuasa asing.
Seterusnya,
bahasa Melayu merupakan bahasa rasmi dalam sistem pendidikan negara kita. Bukan
itu sahaja, malah pada zaman kesultanan Melayu Melaka lagi bahasa Melayu
digunakan dengan meluas sebagai bahasa untuk urusan perdagangan sehingga
menjadi bahasa lingua franca di kepulauan Melayu. Bahasa Melayu menjadi bahasa
ilmu dan bahasa perdagangan. Semua pedagang asing yang datang ke Melaka akan
menggunakan bahasa Melayu untuk berhubung atau menjalankan apa sahaja urusan
dengan rakyat tempatan. Penggunaan bahasa Melayu memudahkan urusan perdagangan
antara pembesar-pembesar Melayu dengan pedagang-pedagang asing.Hal ini dapat kita
lihat bahawa penggunaan bahasa melayu kekal sehingga ke hari ini. Dalam era
globalisasi ini juga, bahasa Melayu umpama ‘tak lekang dek zaman, tak luak dek
masa’ dimana bahasa Melayu masih digunakan pada masa kini dan merupakan bahasa
Kebangsaan serta digunakan dalam sistem pendidikan di sekolah.
Kesimpulannya,
walaupun Malaysia yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai Kerajaan Melayu Melaka
tetapi corak pendidikannya masih dapat dikekalkan walaupun terdapat sedikit
perubahan dibuat untuk memastikan ianya relevan dan setaraf dengan zaman
globalisasi masa kini. Walaubagaimana pun, zaman kesultanan Melayu Melaka telah
memberi impak yang besar kepada negara dalam membina satu tradisi budaya,
politik dan ekonomi yang kekal diwarisi hingga kini. Jadi, sistem pendidikan pada
masa kini sentiasa menjadi kesinambungan sejak zaman kesultanan Melayu Melaka
dan telah membentuk satu identiti di negara kita.
0 comments:
Post a Comment