Thursday, 4 July 2013
SOALAN MINGGU 2 :
Huraikan dan perincikan kurikulum Sejarah sekolah rendah. Bincangkan perkaitannya dengan kehidupan individu, masyarakat dan negara.
AHLI KUMPULAN :
Syazwan,Fahmi,Amira,Aisyah,Zuraihah
Pembaharuan
dalam kurikulum pendidikan negara iaitu KSSR yang menggantikan KBSR telah
melihat kepada beberapa perubahan besar termasuk penambahan mata pelajaran
Sejarah di peringkat sekolah rendah. Perkara ini menjadi perdebatan umum kerana
terdapat pihak yang masih kurang jelas tentang sejauh mana rasional
memperkenalkan Sejarah di peringkat ini. Hal ini kerana, peratusan pelajar
menengah untuk menguasai subjek ini kurang memuaskan inikan pula hendak
dipelajari diperingkat rendah.
Namun begitu, Datuk Seri Abdullan Ahmad
Badawi menyangkal tanggapan tersebut dengan menyatakan perlunya pendedahan
Sejarah bermula di peringkat rendah. Tegas beliau, pada peringkat ini mereka mudah menerima ilmu
dan mudah untuk menanam nilai dan memupuk semangat cintakan negara. Asas yang
dibina dan dipupuk pada peringkat ini dapat memberi kesedaran mengenai
kepentingan sejarah dan relevan sejarah dalam kehidupan masa kini, berbanding
peringkat usia remaja yang sudah dipengaruhi anasir luar dan sebati di dalam
jiwa sehingga menyukarkan penerapan nilai sejarah yang sebenar.
Hakikatnya, objektif utama mata
pelajaran Sejarah diperkenalkan adalah bertujuan mendedahkan para pelajar
terhadap perkembangan masyarakat dan negara dari segi politik. ekonomi dan
sosial, ciri kemasyarakatan dan kebudayaan, sumbangan tokoh seterusnya
membentuk kesedaran, kepekaan dan semangat ingin melibatkan diri dalam
usaha-usaha mempertahankan kedaulatan, pembangunan dan kemajuan negara. Perkara
ini ditekankan dalam kurikulum sekolah rendah dengan memasukkan topik-topik yang
berkaitan seperti mari belajar sejarah, negara Malaysia, identiti negara dan
sastera sejarah.
Mari belajar sejarah yang merangkumi
sub –tajuk seperti apa itu sejarah, sejarah diri dan keluarga, sejarah sekolah
dan sejarah setempat merupakan langkah pertama kepada pengenalan sejarah. Ianya
bertujuan untuk menyesuaikan diri pelajar dengan simbolik ‘sejarah’ dengan cara
mengaitkannya dengan pengalaman langsung pelajar tetapi dalam bentuk skop yang lebih kecil iaitu keluarga dan
sekolah. Walaupun ianya hanya berkisar secara umum namun memberi kesan yang
mendalam apabila pelajar mula merasakan sejarah merupakan suatu yang dekat
dengan kehidupan seharian dan akan memberi kesan pada masa akan datang. Secara
tidak langsung, menarik minat pelajar untuk mendalami seterusnya menerokai
bidang Sejarah.
Seterusnya, kandungan mata pelajaran
sejarah lebih menjerumus kepada negara melalui tajuk negara Malaysia dengan
sub-tajuk yang memperincikan kerajaan –kerajaan Melayu sebelum Kesultanan
Melayu Melaka dan negeri-negeri di Malaysia. Tujuannya adalah untuk mendedahkan
kepada pelajar tentang asal usul negara dan bagaimana usaha para pemimpin
terdahulu memacu kerajaan mereka kearah mencapai kegemilangan. Melalui tajuk ini
kita dapat melihat mata pelajaran Sejarah merupakan satu platform yang cukup
utuh untuk mengetengahkan kembali warisan sejarah suatu ketika dahulu. Bahkan,
menjadi keperluan kepada generasi kini perlu mengetahuinya kerana pepatah ada
menyebut “sesiapa yang melupakan akar bangsa ibarat si Tenggang menderhakai
ibunya”.
Pada peringkat rendah juga, mata
pelajaran Sejarah telah menerapkan unsur patriotisme melalui topik identiti negara kita yang telah
dibahagikan kepada sub-sub tajuk kecil seperti Bahasa Kebangsaan, Lagu
Kebangsaan, bendera Malaysia, Bunga Kebangsaan, Rukun Negara, Jata Negara dan
Yang di Pertuan Agong. Pendedahan ini secara tidak langsung membina jati diri
rakyat dengan cara memperkenalan latar belakang negara sejak peringkat awal
kanak-kanak lagi. Bak kata pepatah, “tak kenal maka tak cinta”. Oleh demikian, pengenalan
awal mengenai latar belakang negara sedikit demi sedikit menanam rasa cinta
kepada negara.
Selain itu, sastera sejarah turut
dijadikan sebahagian dari topik yang dipelajari oleh pelajar peringkat rendah.
Bahagian ini lebih menyentuh tentang tokoh pemimpin pada zaman kesultanan
Melaka seperti Sultan Melaka, Bendahara Tun Perak dan Hang Tuah. Pembelajaran
berkonsepkan tokoh sejarah adalah sebagai role model untuk meningkatkan
motivasi para pelajar dalam menjadi seorang warganegara yang berguna. Laksamana
Hang Tuah misalnya, kesetiaan beliau terhadap pemimpin sehingga sanggup
berkorban nyawa perlu dijadikan contoh teladan kepada generasi muda untuk
menjadi seorang rakyat yang bersemangat patriotik.
Sungguhpun demikian, dalam usaha
memastikan objektif tersebut tercapai, sesi pembelajaran dan pengajaran Sejarah
di peringkat rendah perlu dijalankan dalam suasana yang menarik bagi
mengekalkan fokus dan minat pelajar
terhadap mata pelajaran tersebut. Oleh itu, guru memainkan peranan penting
dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan sesuai dengan
peringkat umur kanak-kanak. Kaedah pendekatan interaktif adalah lebih sesuai
digunakan seperti melihat sendiri tempat bersejarah, lawatan ke muzium atau
arkib dan penggunaan visual seperti gambar lama. Usaha ini adalah bagi
memastikan pelajar bukan sekadar mengetahui malah mendalami dan menyelami
sendiri sesuatu peristiwa sejarah sekaligus melahirkan emosi dan ‘sense of attachment’ kepada warisan dan
legasi sejarah.
Kesimpulannya, Sejarah telah melihat kepentingannya dalam memainkan
peranan untuk melahirkan rakyat yang mempunyai semangat cintakan negara,
berwawasan dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Perkara ini sangat penting untuk negara kita
yang masyarakatnya terdiri dari pelbagai kaum bangsa dan budaya yang
masing-masing mempunyai fahaman dan ideologi berbeza. Sungguhpun demikian, berpegang
kepada Rukun Negara, rakyat menjalani kehidupan dengan aman dan harmoni dengan
cara memahami budaya kaum lain, sentiasa bersikap toleransi dan saling
kerjasama antara satu sama lain.
0 comments:
Post a Comment