Thursday, 4 July 2013
SOALAN MINGGU 2 :
Huraikan dan perincikan kurikulum Sejarah sekolah rendah. Bincangkan perkaitannya dengan kehidupan individu, masyarakat dan negara.
AHLI KUMPULAN :
Joejie,Omar Aiman,Wawa,Rafidah,Suhana
Sejarah merupakan mata pelajaran teras yang wajib dipelajari oleh
semua murid dalam Kurikulum Standard
Sekolah Rendah (KSSR) mulai tahun 4 di tahap dua sekolah rendah. Objektifnya adalah untuk menyemai kefahaman
terhadap mata pelajaran Sejarah sejak sekolah rendah. Ini disebabkan melalui pengetahuan dan kefahaman
terhadap aspek sejarah negaralah yang mampu melahirkan murid yang berjiwa
patriotik. Jadi, melalui kurikulum Sejarah, murid diberi pendedahan untuk
menganalisis dan menilai fakta sejarah secara matang. Jika sebelum ini, aspek Sejarah
hanya diselitkan dalam mata pelajaran Kajian Tempatan yang diajar pada tahap
dua murid sekolah rendah,kini dengan
adanya pengenalan yang berfokus terhadap subjek Sejarah pastinya mampu memupuk
minat terhadap subjek Sejarah sedari
sekolah rendah sebelum beralih
kepada Sejarah dengan lebih mendalam di sekolah menengah.
Kurikulum Sejarah sekolah rendah dibina berasaskan enam tunjang KSSR iaitu
Komunikasi, Kerohanian, Sikap dan Nilai, Kemanusiaan, Literasi Sains dan
Teknologi dan Keterampilan Diri. Keenam-enam tunjang tersebut merupakan nilai yang menyokong antara satu sama lain dan
disepadukan oleh kemahiran berfikir aras tinggi. Melalui kesepaduan kesemua
aspek ini, modal insan yang seimbang dan harmonis, berpengetahuan dan
berketerampilan dapat dilahirkan. Pendekatan
yang menarik yang diterapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran seperti
Pembelajaran Luar Bilik Darjah (PLBD),
Pembelajaran Akses Kendiri (PAK)
dan Penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Pembelajaran (TMK)
pastinya akan melahirkan situasi pembelajaran yang menyeronokkan dan memberi input
yang berguna kepada pelajar dalam melatih Kemahiran Berfikir Aras Tinggi.
Seperti yang dikatakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin
Yassin dalam kata alu-aluan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025,
dalam usaha kita untuk bersaing dengan negara-negara termaju di dunia,
sistem pendidikan kita perlu berupaya
melahirkan generasi muda yang berpengetahuan dan mampu berfikir secara kreatif
dan kritis.
Tema yang ditekankan dalam kurikulum Sejarah sekolah rendah ialah Tema
Mengenal Negara Kita, Sejarah Negara Kita, Kewarganegaraan dan Cintai Tanah
Air. Melalui tema-tema ini, pelajar tahap dua sekolah rendah dapat memahami Sejarah berasaskan sikap ingin
tahu dan seterusnya menghargai keunikan negara kita dalam melahirkan
warganegara yang patriotik di Malaysia. Konsep sebab dan akibat yang ditekankan
dalam kurikulum Sejarah juga akan menyatakan kepentingan sejarah dalam
kehidupan dan menjadikan masyarakat Malaysia sebagai satu masyarakat yang
mengambil iktibar daripada peristiwa sejarah negara dalam usaha mengekalkan
keharmonian negara kita. Menerusi
konteks Perlembagaan Persekutuan dan kemerdekaan tanah air yang diberi
keutamaan dalam kurikulum Sejarah, semangat cintakan negara akan dapat
diterapkan dalam kalangan generasi muda.
Selain itu, perspektif keunikan tanah air yang ditekankan dalam mata
pelajaran Sejarah akan dapat menilai
warisan negara kita seterusnya menerangkan kehidupan dan kebudayaan masa lalu
dan masa kini masyarakat di Malaysia. Menerusi ini, masyarakat Malaysia akan
lebih menghormati masyarakat pelbagai kaum, di samping mempertahankan identiti
dan warisan negara serta memahami perbezaan kaum, budaya, dan agama dalam
memupuk persefahaman antara kaum di Malaysia. Jika semua nilai ini dapat
disemai sejak sekolah rendah, pastinya Malaysia akan dapat mengekalkan
perpaduan yang menjadi aspek yang penting dalam menjana pembangunan negara.
Sebagai contoh, pengenalan terhadap budaya kaum-kaum di Malaysia dan budaya
setiap negeri di Malaysia tidak kira dari segi pakaian, makanan dan tarian yang
pelbagai dan mempunyai keunikan yang tersendiri akan membantu masyarakat
Malaysia memahami dan menghargai keistimewaan negara kita.
Dalam elemen kedaulatan negara kita pula, murid akan didedahkan dengan
pencapaian negara dari segi ekonomi, sosial dan pencapaian di peringkat
antarabangsa. Menerusi elemen ini, perasaan bangga terhadap pencapaian negara
akan dapat dipupuk. Seterusnya, elemen ini juga akan memberi pengetahuan kepada
murid dalam memahami cabaran negara dalam mempertahankan kedaulatan
negara. Dengan ini, pembinaan jati diri
dalam diri murid akan dapat dibentuk sejak dari zaman sekolah rendah lagi.
Lagipun , generasi ini jugalah yang akan menerajui kepimpinan negara pada masa
akan datang yang lebih mencabar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari
rebungnya.
Kesimpulannya, kurikulum Sejarah sekolah rendah merupakan satu bentuk
kurikulum yang dilihat sebagai satu usaha dalam melahirkan warganegara yang
bersatu padu, mempunyai perasaan bangga sebagai rakyat Malaysia, berpengetahuan
dan menghayati dan mengamalkan ciri-ciri warganegara yang cemerlang. Elemen-elemen yang diterapkan dalam kurikulum
ini diharapkan dapat menjadi wadah dalam menerapkan nilai-nilai yang akan
membentuk kehidupan masyarakat yang lebih patriotik dan mempunyai jati diri.
Walaupun begitu, memandangkan kurikulum Sejarah
ini merupakan kurikulum yang baru ingin dilaksanakan di peringkat
sekolah rendah, perhatian yang mendalam terhadap pelaksanaannya dari setiap
aspek perlu diambil berat supaya usaha ini tidak akan menjadi sekadar
melepaskan batuk di tangga. Pendekatan
yang menarik perlulah digunakan oleh guru dan panitia sejarah supaya sesi
pembelajaran akan menjadi lebih berkesan terhadap pelajar.
0 comments:
Post a Comment