Sunday, 14 July 2013
SOALAN ESEI MINGGU 3
:
Sistem pendidikan negara kita pada masa kini merupakan kesinambungan daripada Zaman Kesultanan
Melayu Melaka. Bincangkan.
AHLI KUMPULAN :
Firdaus, Oliver,
Nazmie, Izzati, Fazlin
Sistem pendidikan melalui sistem persekolahan, merupakan
elemen yang penting bagi sesebuah negara dalam usaha menuju ke arah
membangunkan masyarakat dari segi ekonomi, politik, dan sosial. Sistem
persekolahan bukan sahaja berperanan untuk memberi pelajaran kepada masyarakat
semata-mata, bahkan ia merupakan saluran untuk menyampaikan kepada rakyat
berkenaan dengan wadah perjuangan negara yang sangat mementingkan nilai-nilai
perpaduan. Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai masyarakat berbilang
kaum, agama, dan adat resam di mana ia dikenali sebagai masyarakat majmuk.
Pelaksanaan sistem pendidikan yang dijalankan perlu mengikut keperluan dan
kesesuaian masyarakat Malaysia.
Sistem pendidikan di Malaysia sebenarnya dipengaruhi oleh
sejarah dan zaman. Misalnya cuba kita bandingkan zaman sebelum dan selepas
Merdeka. Orientasi dan corak pendidikan di Malaysia pada waktu tersebut jauh
berbeza dimana sebelum merdeka, pendidikan di Malaysia adalah terasing mengikut
kaum manakala sistem pendidikan selepas merdeka adalah selaras untuk semua
kaum. Hal ini lebih jelas lagi menunjukkan kepada kita bahawa pendidikan di
sesebuah negara dipengaruhi oleh faktor persekitaran. Sebenarnya sistem
pendidikan di Malaysia masih lagi mengamalkan corak yang sama diamalkan semasa
zaman Kesultanan Melayu Melaka walaupun pelbagai tranformasi diperkenalkan dan
zaman sudah jauh berubah.
Sistem pendidikan telah wujud di negara ini sejak zaman
kegemilangan kesultanan Melayu Melaka. Sistem pendidikan pada zaman ini adalah
berasaskan kepada pengajaran al-quran, tingkah laku dan akhlak yang baik,
kerohanian dan seni mempertahankan diri. Pendidikan wujud dan berkembang
bersama-sama dengan pengembangan agama Islam di negari-negeri Semenanjung Tanah
Melayu dan kepulauan Melayu pada abad ke 14. Pedagang Arab dan India yang
beragama Islam datang ke kawasan Asia Tenggara. Pada zaman ini telah wujudnya
institusi pendidikan yang dinamakan Sekolah Pondok. Sekolah Pondok dibangunkan
dan dimajukan bersama-sama secara gotong-royong dalam kalangan masyarakat
setempat. Pada abad ke 18 dan 19 di Terengganu, Kelantan dan Kedah yang paling
banyak sekolah pondok. Ramainya tokoh-tokoh agama muncul menyebarkan agama
Islam di Semenanjung Tanah Melayu. Sekolah pondok juga merebak di Semenanjung
Tanah Melayu termasuk Singapura. Sehingga sebelum abad ke-20 masih tiada sistem
dan organisasi pendidikan berbentuk formal.
Pengaruh sistem pendidikan pada zaman kesultanan Melayu
Melaka terhadap sistem pendidikan sekarang dapat kita lihat terutamanya
terhadap sistem pendidikan tidak formal
negara kita. Pengajian agama masih diteruskan di surau-surau pada waktu malam
dengan buku-buku terdiri dari kitab-kitab karangan ulama. Cumanya yang berbeza
ialah pada zaman kesultanan Melayu Melaka pengajian agama ini banyak
dititikberatkan terhadap kerabat-kerabat raja dimana istana pada waktu tersebut
berfungsi sebagai pusat penterjemahan dan penyimpanan kitab-kitab agama. Pengajian
agama juga dijalankan di pondok-pondok yang diasaskan oleh ulama-ulama.
Guru-guru terdiri daripada syeikh-syeikh dari dalam negara mahupun dari luar
negara. Sistem pendidikan agama tidak formal ini nampaknya masih diteruskan
sehingga sekarang.
Bukan itu sahaja, sebagai sebuah yang menjadikan agama
Islam sebagai agama rasmi dalam negara ini, pendidikan agama Islam telah mula
ditekankan sejak bangku sekolah lagi yang mana ia adalah termaktub dalam
kurikulum sekolah. Perkara ini dapat dilihat apabila murid-murid sekolah rendah
turut diperkenalkan mata pelajaran agama Islam secara asas supaya mereka dapat
menghayatinya agar dapat menjadikannya sebagai panduan hidup pada masa akan
datang. Hal ini penting untuk melahirkan insan yang mempunyai nilai kerohanian
yang tinggi serta berakhlak mulia yang mula dipupuk sejak kecil lagi. Perkara
ini turut sama berlaku sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka yang mana
pendidikan agama sangatlah dititik beratkan sehinggalah zaman sebelum
kedatangan British barulah elemen-elemen pendidikan yang lebih bercorakkan
ilmiah mula diperkenalkan dengan lebih mendalam serta luas lagi seperti ilmu
sains dan sastera. Seperti yang telah ditekankan pada awalnya iaitu pendidikan
tidak formal yang berasaskan kepada al-Quran telah menjadi salah satu pendidikan
yang terpenting terutamanya kepada golongan pemerintah dan setiap ulama-ulama
juga dipandang tinggi oleh masyarakat pada masa itu kerana sikap-sikap yang
ditunjukkan oleh mereka adalah sangat baik dan disenangi oleh orang ramai
termasuklah pedagang asing dari negara lain.
Namun demikian, kedatangan Inggeris ke dalam Tanah Melayu
telah membawa satu era pendidikan yang lebih bercorakkan vernakular iaitu
sekolah berasaskan kaum yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa
pengantar. Keadaan ini telah membuktikan bahawa sistem pendidikan kita sering
kali berubah mengikut perkembangan zaman pada waktu itu. Jika pada zaman
Kesultanan Melayu Melaka, pendidikan yang ditekankan adalah pendidikan yang
bercorakkan keagamaan. Akan tetapi, kedatangan British yang telah membawa masuk
dua lagi kaum utama dalam negara ini iaitu orang-orang Cina dan India telah
membawa satu sistem pendidikan yang lebih kompleks. Maka terbuktilah bahawa
pendidikan dalam negara kita sering melalui banyak perubahan agar ia mampu memenuhi
keperluan semasa negara pada masa itu. Perkara ini secara tidak langsung telah
mempengaruhi sistem pendidikan yang ada pada masa kini iaitu kerajaan sering
mengadakan penambah baikan agar dapat memberi pendidikan yang terbaik untuk
semua kaum. Sebagai contohnya, kurikulum
dalam negara kita telah mengalami beberapa kali perubahan bermula dengan Kurikulum
Lama Sekolah Rendah (KLSR) ke Kurikulum
Baru Sekolah Rendah(KBSR) sehinggalah ke yang terkini iaitu Kurikulum Standard
Sekolah Rendah(KSSR). Yang menarik di sini ialah asas kepada pengajaran agama
Islam tidak pernah diabaikan sehinggalah ke hari ini yang telah dimulakan sejak
zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Malahan, ia turut diperkembangkan dengan
lebih tinggi lagi dengan wujudnya sekolah-sekolah agama di negara kita. Bukan
itu sahaja, ia turut membangun di peringkat institusi pengajian tinggi yang
mana wujudnya universiti Islam dalam negara kita seperti Universiti Islam
Antarabangsa yang diiktiraf di seluruh dunia.
Pendek kata, sistem pendidikan kita sememangnya telah
dipengaruhi oleh sistem pendidikan terdahulu yang masih dikekalkan secara amnya
walaupun telah mengalami banyak perubahan. Oleh yang demikian, untuk memastikan
kesinambungan ini berterusan, sejarah pendidikan negara tidak harus dilupakan.
Kurikulum yang bersesuaian dengan masa kini perlulah diserap masuk bagi
memantapkan lagi kurikulum sedia ada.
0 comments:
Post a Comment