TUGASAN ESEI KUMPULAN 2

Thursday, 27 June 2013


TUGASAN ESEI KUMPULAN 2 

AHLI KUMPULAN 2 :

Nazmie, Khobir, Fahmi, Amira, Zaidah, Jaja, Suhana, Faiz Rosli, Amir, Fazlin

TAJUK ESEI MINGGU 1 : 

Kenapa KSSR dibawa masuk menggantikan KBSR dalam sistem pendidikan hari ini?

        Marcapada ini,KSSR telah dibawa masuk ke dalam sistem pendidikan negara kita bagi menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah(KBSR).Ini merupakan satu inisiatif daripada pihak berwajib dalam meningkatkan lagi taraf pendidikan negara kita bagi merealisasikan hasrat Wawasan 2020 seiring dengan perkembangan dunia global dewasa ini.

            KSSR merupakan satu titik perubahan dalam sistem kurikulum pendidikan di Malaysia kerana melalui KSSR,kurikulum negara kita telah diperkemaskan lagi dengan beberapa penambahbaikan yang dibuat. Umum mengetahui bahawa KBSR merupakan satu bentuk kurikulum yang berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata, malah KBSR juga menggunakan sumber rujukan yang berpusatkan kepada buku teks sahaja tanpa melibatkan sumber rujukan,teknologi,bahan bantu belajar serta alat bantu mengajar yang lain.Melalui pembaharuan yang diterapkan di dalam KSSR,penggunaan buku teks telah digantikan dengan penggunaan modul yang dilihat lebih efisien dan bersistematik. 

           Modul-modul ini dapat menarik minat para murid untuk terus mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan di sekolah.Pelbagai aktiviti yang seronok dan dapat mengembangkan minda serta menajamkan fikiran murid-murid. Murid-murid juga akan mudah untuk mempelajari dan memahami serta mengingati sesuatu sekiranya pembelajaran mereka disertai dengan aktiviti-aktiviti amali dan praktikal. Ianya juga dapat menarik minat murid untuk terus meminati sesi pembelajaran dan sentiasa berusaha menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dengan cara dan langkah yang terbaik.

            KSSR juga dibawa masuk ke dalam sistem pendidikan negara kita bagi menggantikan KBSR adalah disebabkan oleh negara kita ingin melahirkan dan juga menyediakan murid-murid yang mampu menghadapi cabaran dunia luar dengan pembaharuan yang ada di dalam KSSR.Ini disebabkan oleh,dalam KSSR,fokus pendidikan telah ditambah daripada membaca,menulis dan mengira kepada satu lagi M iaitu menaakul yang mana melalui menaakul,para pelajar dapat membuat refleksi sendiri terhadap apa yang telah dipelajari.KSSR juga bukan sahaja berorientasikan kepada peperiksaan semata-mata tetapi lebih menjurus ke arah membentuk peribadi yang lebih berdaya saing dengan kuasa luar serta lebih berfikiran terbuka.

            KSSR juga menekankan penggunaan dan aplikasi teknologi yang pelbagai semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berlangsung.Penggunaan teknologi di dalam proses pembelajaran dapat menarik minat para pelajar untuk belajar sendiri di rumah kerana dunia teknologi yang tanpa had dapat memudahkan proses pencarian maklumat tambahan bagi mencaknakan lagi buah fikiran mereka.Murid akan mempelajari sesuatu yang baru dengan lebih mudah seperti Microsoft Word, diikuti Microsoft Power Point dan Painting. Penguasaan kemahiran ICT ini tidak akan dinilai sebagai subjek peperiksaan, sebaliknya didedahkan kepada murid Tahun Satu untuk menyuntik nilai tambah dari segi kreativiti dan inovasi murid-murid terhadap bidang teknologi moden dan perubahan-perubahan dalam sistem teknologi.Penggunaan kaedah inkuiri yang digunakan dalam kurikulum KSSR membuatkan para pelajar lebih berminat untuk belajar kerana mereka dapat memperoleh ilmu pengetahuan secara hands-on.

            Penggantian KBSR kepada KSSR juga telah memperkenalkan sistem band dalam penilaian prestasi kecemerlangan murid.Jika sebelum ini,dalam KBSR sistem gred digunakan untuk menilai tahap prestasi murid pada setiap hujung penggal persekolahan.Namun,melalui sistem penilaian KSSR ini penilaian murid-murid telah dilakukan secara berterusan.KSSR turut membolehkan semua pihak termasuk ibu bapa menilai perkembangan pembelajaran anak dengan tepat, mengesan kekuatan atau kelemahan murid secara berterusan serta mengenal pasti bakat dan minat murid. Melalui pendekatan baru ini, ia membolehkan guru menilai murid dengan lebih berkesan menerusi standard prestasi yang berupaya menentukan tahap penguasaan mereka mengikut band bermula dari satu hingga enam secara teratur.      
    
            Tuntasnya, penggantian KBSR kepada KSSR merupakan satu alternatif terbaik dalam membentuk modal insan yang seimbang seiring dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan negara kita. Oleh itu, peranan dari segenap aspek masyarakat amatlah perlu bagi memastikan KSSR ini dapat memberikan impak yang berkesan dan dapat mencapai matlamat yang disasarkan.



        

0 comments:

Post a Comment