SOALAN 2 : KUMPULAN 3

Thursday 12 September 2013

SOALAN ESEI MINGGU 12

SOALAN 2 : Huraikan sejarah Sabah dan Sarawak secara ringkas.

Kumpulan 3 : Najwa, Rafidah, Suhana, Joejie, Omar

Sarawak dan Sabah terletak di Kepulauan Borneo yang berada di tengah-tengah laluan perdagangan yang luas lagi menguntungkan. Kedudukan pulau Borneo yang tersilang dari setiap penjuru oleh sungai-sungai, teluk-teluk, tanah yang subur dan megah dengan barang-barang dagangan dari serata dunia. Kesemua ciri di atas telah menarik kuasa imperialis Barat iaitu British untuk menguasainya. Sebelum kedatangan kuasa British, pembesar-pembesar Brunei yang digelar Pangeran telah ditugaskan untuk mentadbir setiap wilayah di Sarawak dan Sabah. Kemudian, setelah British bertapak di Sarawak dan Sabah, tugas mentadbir negeri tersebut telah diambil alih oleh Gabenor yang terdiri daripada golongan kulit putih. Namun, setelah Sabah dan Sarawak menyertai kerajaan Malaysia pada 16 September 1946, secara tidak langsung Sabah dan Sarawak bebas daripada cengkaman British dan mampu mentadbir mengikut acuan sendiri.
Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah yang luar biasa dan unik . Pada asalnya, Sabah dan Sarawak merupakan sebahagian daripada tanah jajahan Brunei. Pada abad ke-enam, kerajaan Brunei merupakan sebuah kerajaan yang mempunyai tanah jajahan yang luas dan merupakan antara empayar yang kuat suatu ketika dahulu. Buktinya, beberapa siri serangan oleh Sepanyol dapat dipatahkan oleh Brunei. Namun begitu, setelah kemangkatan Sultan Bolkiah pada kurun ke-16, kerajaan Brunei menjadi semakin lemah. Kawasan jajahan yang begitu luas menjadi sukar untuk dikawal akibat berlakunya konflik dalaman dan perebutan tanah jajahan oleh pembesar-pembesar tempatan. Di Sarawak, kekacauan dan pemberontakan yang terjadi di kawasan antara Sungai Skrang dan Sungai Saribas yang diketuai oleh Pangiran Yusof telah mengakibatkan Sultan Brunei terpaksa mengarahkan Pangiran Muda Hasyim bagi menamatkan kekacauan yang berlaku. Namun begitu, usaha untuk menghentikan kekacauan itu tidak berjaya sehinggalah ketibaan James Brooke pada tahun 1839. Semenjak itu, James Brooke memulakan usahanya untuk memperkukuh kuasanya di Sarawak. Akhirnya, setelah beberapa siri perjanjian dilakukan, James Brooke telah berjaya mengukuhkan kuasanya di Sarawak pada 1841.
Bagi negeri Sabah, sebelum abad ke-16, Sabah tidak mempunyai sistem pemerintahan Beraja. Disebabkan itu, sistem politik Sabah terbahagi kepada tiga mengikut kawasan iaitu sistem politik kesukuan, sistem politik kesultanan dan sistem politik ketua babas. Pada abad ke-17, Sabah telah berada di bawah tanah jajahan Kesultanan Brunei. Kekuasaan Kesultanan Brunei di Sabah pula berkurang pada tahun 1662 apabila berlaku perebutan kuasa di Brunei sehingga Sultan Muhyiddin terpaksa menyerahkan bahagian kawasan timur laut Sabah kepada Kesultanan Brunei.
British mula bertapak keatas Sabah seawal tahun 1760-an apabila Alexander Dalrymple membuat perjanjian dengan  Sultan Sulu untuk membuka pangkalan perdagangan Syarikat Hindia-Timur British di Pulau Balembangan yang terletak kira-kira 20 batu dari utara Kudat. Dalrymple kemudian mengganti nama pulau Balembangan kepada “Felecia”. Walaubagaimanapun pertapakan syarikat British di Pulau tersebut tidak lama apabila pulau tersebut akhirnya di tinggalkan pada tahun 1805.Pada tahun 1840-an British telah berunding dengan Sultan Brunei untuk menyerahkan Labuan yang terletak di Barat Laut Borneo. British ingin menjadikan Labuan sebagai pangkalan, melombong arang batu, membanteras lanun serta meningkatkan perdagangan. Labuan kekal di tangan  British sehingga tahun 1907, apabila Labuan di letakkan di bawah kerajaan negeri-negeri Selat.

Pada tahun 1850-an, Wakil Amerika iaitu Charles Lee Moses telah membuat perjanjian pajakan dengan sewa $ 9,500 setahun selama 10 tahun  dengan Sultan Brunei. Tidak lama kemudian, Moses telah menyerah pajakan tersebut kepada pedagang AS di Hongkong iaitu Joseph Torrey dan Thomas Harris. Akibat menghadapi masalah kewangan, pada tahun 1875, Torrey telah menjual haknya kepada Baron Gustavus Baron Overbeck  berbangsa Austria yang bekerjasama dengan saudagar kaya dari British bernama Alfred Dent. Pada tahun 1877 Overbeck telah Berjaya mendapat pajakan seluruh hak tanah sultan Brunei di Sabah selama 10 tahun lagi iaitu dengan sewa sebanyak $ 15,000 setahun. 

Pada tahun 1881, Sabah telah ditadbir oleh Kompeni Berpiagam Borneo Utara (British North Borneo Charted Company) yang ditubuhkan  di London. Bentuk pentadbiran kompeni ini adalah pentadbiran secara tidak langsung di mana gabenor menjadi ketua kompeni. Gabenor ini dibantu oleh Majlis penasihat yang terdiri daripada pegawai kanan kompeni. Majlis ini tidak mempunyai wakil masyarakat peribumi di mana kompeni perlu berkerja rapat dengan pembesar tempatan atau perwakilan mereka bagi mentadbir sabah.
Di bawah pentadbiran SBUB, Sabah dibahagikan kepada beberapa residensi iaitu residensi Pantai Barat, residensi Sandakan, residensi Tawau dan residensi pedalaman. Setiap residensi ditadbir oleh seorang residen dan residensi ini dipecahkan kepada beberapa daerah yang ditadbir oleh pegawai daerah yang terdiri daripada pegawai British. Selain itu juga terdapat juga pembesar tempatan yang memainkan peranan dalam mentadbir negeri ini iaitu ketua anak negeri. Tugas ketua anak negeri ialah sebagai pembantu kanan pegawai daerah.
Namun demikian, di zaman pentadbiran SBUB terdapat penindasan dan eksploitasi yang dilakukan oleh pemerintahan Inggeris terhadap anak negeri. Tindakan pihak British yang menindas dan melucut hak-hak penduduk setempat. SBUB melantik ketua kampong yang bergelar Orang Tua di peringkat kampung. Hal ini kerana mereka memahami adat dan budaya masyarakat setempat.
Untuk menjaga keamanan negeri, SBUB melaksanakan undang-undang barat dan undang-undang tempatan. Mahkamah Majistret dan Mahkamah Anak Negeri diwujudkan. Mahkamah Anak Negeri diketuai oleh ketua anak negeri. Martabat dan kewibawaan ketua-ketua peribumi dipertingkatkan melalui jawatan tersebut.
Matlamat penting SBUB adalah bertujuan untuk menguasai Sabah adalah untuk membolot kekayaan ekonominya. SBUB telah, mengeksploitasi kekayaan hasil tradisional Sabah seperti sagu, sarang burung, pokok lanut, trepan, sirip ikan yu dan rotan. Aktiviti pertanian, pembalakan dan perlombongan juga dikuasai oleh SBUB untuk mengaut keuntungan. SBUB mengeluarkan mata wang yang pertama pada tahun 1882.
Di Sabah juga, SBUB juga mengusahakan tanaman baru seperti getah dan tembakau. Tanaman-tanaman ini dapat diusahakan di Sabah kerana Sabah mempunyai tanah yang luas dan subur. Tembakau menjadi tanaman dagangan yang penting di Sabah kerana mutunya diiktiraf sebagai yang terbaik di dunia. Tembakau di Sabah mendapat pasaran yang baik di Belanda dan Amerika Syarikat. SBUB menggalakkan  tanaman tembakau di Sabah dengan mengecualikan cukai eksport kepada peladang tembakau. Menjelang tahun 1890 terdapat 61 buah ladang tembakau Sabah yang bernilai lebih daripada dua juta dolar.
 Pembinaan landasan kereta api telah membawa kepada pembukaan ladang-ladang getah di Beafort, Jesselton, dan Tenom. SBUB menggalakkan penanaman getah dengan cara memberi 4% dividen kepada pengusaha tanaman getah, pengecualian cukai eksport getah selama 50 tahun serta membawa masuk buruh dari China dan Jawa untuk bekerja di ladang. oleh sebab itu getah menjadi antara hasil eksport penting SBUB. Hasil balak di Sabah juga dikuasai oleh SBUB. Kegiatan balak ini banyak diusahakan di Sandakan, Lahad Datu, dan Tawau. Oleh yang demikian SBUB membawa masuk buruh dari Indonesia dan Filipina untuk bekerja dalam kegiatan pembalakan. Hasil balak tersebut dieksport melalui Sandakan ke China, Singapura, Britain dan Australia. Selain daripada kegiatan pembalakan, SBUB juga menggalakkan kegiatan perlombongan di Sabah seperti emas, arang batu, dan mangan
SBUB juga menyediakan pelbagai kemudahan asas yang bertujuan untuk kepentingan dan keuntungan SBUB sendiri. Kemudahan asas seperti sistem pengangkutan. Pada tahun 1896, SBUB membina landasan kereta api yang pertama sepanjang 32 km bagi menghubungkan Weston dan Beaufort. Kemudiannya pada tahun 1905, landasan kereta api dari Beaufort disambung ke Jesselton dan seterusnya ke Tenom dan Melalap. Pembinaan landasan kereta api ini memudahkan pengangkutan hasil keluaran di bahagian pedalaman ke pelabuhan. Pembinaan kereta api juga menggalakkan pembukaan ladang getah di sekitar Beaufort Tenom dan Jesselton. Selain itu juga, SBUB membina jalan raya di Bandar-bandar besar seperti Jesselton, Sandakan, Lahad Datu, Kudat dan Tawau. jalan raya yang dibina menghubungkan kawasan kegiatan ekonomi dengan Bandar dan pelabuhan. SBUB menyediakan sistem pengangkutan air dan sungai. Oleh yang demikian SBUB telah menubuhkan syarikat perkapalan seperti straits steamship mula berkhidmat pada tahun 1890 untuk mengangkut barangan dan penumpang dari dalam dan luar negeri.
SBUB kurang menumpukan perhatian dalam bidang pendidikan. Pada peringkat awal, sekolah-sekolah didirikan oleh mubaligh Kristian untuk menyebarkan agama Kristian. Pada tahun 1909, Jabatan Pelajaran ditubuhkan untuk menguruskan sekolah-sekolah di Sabah. Pada tahun 1915 pula sekolah latihan didirikan bagi anak-anak negeri. Manakala sekolah cina dikendalikan oleh masyarakat cina sendiri. SBUB hanya menyediakan pendidikan rendah kerana menganggap bidang pendidikan tidak menguntungkan.
Dalam kemudahan kesihatan SBUB menyediakan hospital-hospital di kawasan Bandar manakala pusat-pusat kesihatan di kawasan luar Bandar. Oleh kerana bilangan doktor tidak mencukupi dan perkhidmatan perubatan tidak dapat dinikmati oleh semua penduduk sabah. Perkembangan kegiatan ekonomi dan sosial di sabah telah membawa kemunculan Bandar-bandar baru seperti Sandakan, Kudat, Jesselton, Tawau dan Lahad Datu. Bandar-bandar ini kemudiannya berkembang menjadi pusat kegiatan ekonomi dan pusat pentadbiran.
Setelah diiktiraf sebagai Raja Sarawak James Brooke berusaha meluaskan kuasanya di Sarawak. Sepanjang tahun 1853 hingga 1905 beberapa peristiwa yang berlaku telah memberi peluang kepada keluarga Brooke untuk meluaskan kawasan pemerintahan mereka dengan bantuan angkatan laut British. Iaitu pertamanya,penentangan di Saribas dan Batang Lupar menyebabkan Sultan Abdul Mu’mein menyerahkan kawasan Sarawak antara Sungai Samarahan dengan Sungai Rajang kepada keluarga Brooke dengan bayaran 1500 dolar setahun. Manakala pada tahun 1861 kekacauan di sepanjang Sungai Rajang menyebabkan Sultan Mu’mein menyerahkan kawasan Sungai Rajang kepada keluarga  Brooke dengan bayaran 4500 dolar setahun. Seterusnya, pada tahun 1863 pembunuhan beberapa orang peniaga Sarawak oleh orang Murut di lembangan Sungai Trusan menyebabkan kawasan tersebut diserahkan kepada keluarga Brooke dengan bayaran 4500 dolar setahun. Dan akhirnya, pada  tahun 1905 Charles Brooke membeli Lawas daripada Sultan Hashim Jalal (1885-1906). Jadi kesemua peristiwa ini telah memudahkan proses keluarga Brooke meluaskan kuasa malah menjelang 1905, keluarga Brooke telah berjaya meluaskan wilayahnya ke sempadan Brunei dan sempadan  yang dibentuknya kekal hingga ke hari ini.
            Di negeri Sarawak pula, sepanjang pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak terdapat beberapa perubahan  yang dilakukan terhadap Sarawak iaitu dari segi pentadbiran, ekonomi,dan sosial. Pertamanya, dari segi pentadbiran James Brooke telah memperkenalkan sistem pentadbiran beraja. Pentadbiran juga dibantu oleh pembesar Melayu yang berpengaruh seperti Datu Patinggi, Datu Bandar, dan Datu Temenggung. Walau bagaimanapun, pembesar Melayu hanya bertanggungjawab menasihati beliau dalam hal-hal yang berkaitan dengan undang-undang dan adat-adat tempatan. Dalam pada itu, James Brooke juga telah memperkenalkan Majlis Tertinggi dan Majlis Negeri untuk melicinkan pentadbiran. Sarawak juga dibahagikan kepada lima bahagian dan setiap bahagian ditadbir oleh Majlis Bahagian. Sempena ulang tahun 100 tahun pentadbiran keluarga Brooke di Sarawak Raja Charles Vyner Brooke mengisytiharkan Perlembagaan Baru Sarawak pada 24 September 1941. Perlembagaan ini merupakan sebuah perlembagaan yang bermakna dalam sejarah Sarawak kerana merupakan sebuah perlembagaan pertama  bertulis  dan perlembagaan ini juga menggariskan pemberian kuasa pemerintahan kepada rakyat Sarawak melalui Majlis Negeri. Walau bagaimanapun, perlembagaan ini tidak dapat dilaksanakan kerana Perang Dunia Kedua meletus pada tahun 1941.
            Selain itu, dari segi ekonomi beberapa perubahan telah dilakukan untuk menjaga kepentingan ekonomi keluarga Brooke. Di bawah keluarga Brooke ekonomi Sarawak diberi lebih peluang kepada kaum Cina dalam bidang perlombongan  dan pembangunan ekonomi dan sosial tidak seimbang kerana tumpuan hanya diberi kepada Bahagian Pertama dan Bahagian Kedua Sarawak. Walau bagaimanapun, secara ringkas ekonomi Sarawak terdiri daripada hasil hutan, perlombongan dan tanaman tradisional yang semakin mantap di bawah keluarga Brooke
            Akhirnya perubahan dari segi sosial ialah keluarga Brooke telah melaksanakan dasar pecah perintah.  Iaitu di bawah dasar pecah perintah dasar pentadbiran Brooke telah memisahkan setiap kaum  dalam kegiatan ekonomi. Contohnya, orang  Melayu terlibat dalam bidang pentadbiran manakala orang Iban dalam bidang ketenteraan. Selain itu, dasar ini juga memisahkan petempatan penduduk dan akibatnya perpaduan penduduk pelbagai kaum di Sarawak tersekat dan Raja Brooke dapat mengukuhkan kedudukannya sebagai Raja Sarawak. Dalam pada itu, dari segi kemudahan asas pentadbiran Brooke mewujudkan kemudahan asas di kawasan bandar tetapi kurang memberikan perhatian di kawasan pedalaman.
Sarawak menjadi sebuah negara yang mutlak pada 22 Julai 1963 apabila Gabenor British Sir Alexander Waddel menyerahkan kuasa kepada anak tempatan iaitu Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Timbalan Ketua Menteri pula adalah Datuk Amar James Wong Kim Min. Sarawak merdeka sebagai sebuah negara selama 77 hari sahaja kemudian memutuskan untuk bergabung dengan Sabah, Singapura dan Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia. Manakala Sabah telah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963, apabila Gabenor Koloni, Sir William Goode menamatkan era kolonial Syarikat Berpiagam Borneo Utara British dengan mengisytiharkan Borneo Utara membentuk kerajaan sendiri pada tarikh berkenaan. Namun, pengisytiharan rasmi kemerdekaan Sabah hanya dibuat pada 16 September 1963 di Padang Merdeka, Jesselton sekarang dikenali sebagai Kota Kinabalu oleh Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Mohd Fuad Stephens.
Sabah dan Sarawak menjadi sebahagian dari Malaysia secara rasmi pada tanggal 16 September 1963 dengan persetujuan bahawa hak dan hasil negara adalah dikongsi bersama dengan 13 buah negeri yang lain atau 1/14. Sabah dan Sarawak turut mengemukakan tuntutan 20 perkara bagi sabah dan 18 perkara bagi Sarawak yang berkaitan dengan agama, bahasa, kewangan, hak Bumiputera Sabah dan Sarawak dan imigresen. Hal ini bagi menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak.
Intihanya, Sarawak dan Sabah mempunyai sejarah mereka yang tersendiri. Akan tetapi, sejarah Sabah dan Sarawak hampir sama dengan negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu. Hal ini demikian kerana, kesemua negeri tersebut pernah berada bawak penguasaan British. Apa yang membezakannya ialah bila pihak British mula bertapak dan berapa lama tempoh masa pemerintahan mereka. Matlamat mereka melebarkan kuasa ke Sabah dan Sarawak tetap sama iaitu ingin memonopoli hasil bumi serta menjadikan negeri-negeri tersebut sebagai tanah jajahan. Setelah tercapai objektif-objektif tersebut, mereka pun bersedia untuk membebaskan dan memerdekakan Sabah dan Sarawak. Penyatuan Sabah dan Sarawak dengan Tanah Melayu telah membentuk sebuah negara yang dinamakan sebagai Malaysia. Sejak itu, perkembangan dan pembangunan yang dilaksanakan di Semenanjung Tanah Melayu turut sama-sama dirasai oleh penduduk di Sabah dan Sarawak. Pemodenan di Sabah dan Sarawak juga tidak pernah diketepikan. Setelah Sabah dan Sarawak bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu yang telah mencapai usia 50 tahun pelbagai pembangunan dan kemajuan telah dilakukan. Sabah dan Sarawak yang kaya dengan sumber semula jadi telah menjadi pemangkin kepada perkembangan ekonomi negara, di mana Sabah dan Sarawak merupakan pengeluar minyak utama di Malaysia. Dari segi kemudahan infrastruktur pula pelbagai kemudahan telah disediakan, misalnya kemudahan jalan raya untuk menghubungkan beberapa kawasan telah di naik taraf bagi memudahkan perhubungan. Di samping itu, kawasan-kawasan bandar juga telah dimajukan agar pembangunan di Sabah dan Sarawak setanding dengan pembangunan di Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, keluasan Sabah dan Sarawak yang  besar menyebabkan masih ada kawasan yang masih mundur dan tidak dapat dibangunkan terutamanya di kawasan pedalaman. Hal ini menyebabkan penduduk Sabah dan Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman masih lagi ketinggalan dari arus pemodenan. terdapat kawasan di pedalaman yang tidak mempunyai kemudahan seperti elektrik, hospital dan sebagainya. Maka itu, jika dibandingkan dengan Semenanjung Tanah Melayu sememangnya Sabah dan Sarawak masih lagi ketinggalan dari segi pembangunan dan kemajuan, walaupun telah bergabung dalam Malaysia selama 50 tahun namun pembangunan dan kemajuan di Sabah dan Sarawak masih belum seiring dengan pembangunan dan kemajuan yang berlaku di Semenanjung Tanah Melayu.

           

0 comments:

Post a Comment