Thursday, 4 July 2013
SOALAN ESEI MINGGU 2 :
Huraikan dan perincikan kurikulum sejarah sekolah rendah. Bincangkan perkaitannya dengan kehidupan individu, masyarakat dan negara.
AHLI KUMPULAN :
Faez,Faiz Rosli,Jay,Ilya,Husna
Kurikulum merupakan suatu elemen penting dalam sistem
pendidikan. Ianya merupakan nadi kepada sistem pendidikan yang boleh
mencorakkan generasi akan datang. Kurikulum perlu relevan dan dinamis
bersesuaian dengan keperluan semasa dan halatuju pendidikan serta aspirasi
negara. Matlamat kurikulum ialah melahirkan insan yang seimbang dari segi
jasmani, emosi, rohani dan intelek. Namun, pada masa yang sama kurikulum turut
perlu menyumbang dalam melahirkan pekerja yang berilmu, warganegara yang
bertanggungjawab dan mempunyai ciri-ciri global player. Pengisian dan
pelaksanaan kurikulum mestilah bersifat futuristik, fleksibel dan dinamik
supaya dapat menentukan corak masyarakat, profil bangsa dan warganegara
Malaysia yang berkualiti.
Pembangunan modal insan yang relevan dengan
keperluan semasa dan masa akan datang merupakan sumber utama menentukan
kemampuan negara untuk menghadapi cabaran globalisasi. Memandangkan golongan
murid dan pekerja merupakan elemen yang penting untuk memajukan negara,
usaha-usaha hendaklah diambil untuk meningkatkan keupayaan dan kecekapan
mereka. Golongan ini perlu ditanam dengan sikap gigih, dedikasi, berani dan
keinginan untuk terus meningkatkan taraf ilmu pengetahuan. Oleh itu, aspek
latihan dan pendidikan samada secara formal atau tak formal adalah menjadi
tonggak yang menentukan samada masyarakat negara ini bersedia dan mampu
mengharungi arus globalisasi atau sebaliknya.
Sehubungan itu, usaha permulaan yang harus
dibuat di peringkat sekolah ialah untuk melengkapkan murid dengan pengetahuan,
kemahiran dan nilai-nilai yang diperlukan bagi menghadapi cabaran globalisasi
ini dengan lebih mudah. Antaranya ialah mereka memerlukan pengetahuan dan
kemahiran baru seperti kemahiran ICT serta kebolehan berfikir secara kritis dan
kreatif. Mereka juga perlu mampu berkomunikasi, menganalisis dan membuat
keputusan dengan berkesan.
Integrasi kaum merupakan isu yang sering
menimbulkan masalah dan perlu diberi perhatian di kebanyakan negara di dunia.
Integrasi kaum di Malaysia sentiasa diberi keutamaan. Kejeleketan sosial
merupakan perkara utama yang perlu diambilkira apabila menilai perubahan dasar
kurikulum. Konsep ini merupakan satu kesedaran sosial yang boleh diaplikasikan
sewaktu penggubalan dasar sebagai satu tindak balas kepada kepelbagaian isu-isu
sosial.
Adalah penting untuk kita mengambilkira faktor
budaya, sosial dan politik dalam perspektif sejarah untuk memahami sifat
pembahagian sosial, konflik, identiti dan keamanan. Sebagai contoh, isu
keterasingan (compartmentalization) dan kelangsungan etnik (ethnic survival)
boleh mencetuskan konflik etnik. Kurikulum kebangsaan yang dilaksanakan di
sekolah sememangnya memberi penekanan kepada betapa pentingnya nilai dan norma
yang menggalakkan perpaduan dalam masyarakat majmuk di Malaysia. Pendekatan
terarah melalui pengenalan mata pelajaran khusus seperti Pendidikan Moral,
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan dan Pendidikan Sejarah serta disokong
melalui kaedah penerapan nilai merentas kurikulum merupakan usaha Kemeneterian
Pelajaran Malaysa menyemai dan menyuburkan semangat patriotisme dan perpaduan kepada
semua rakyat Malaysia yang mengikuti sistem pendidikan negara.
Pendidikan Sejarah bertujuan untuk memupuk dan
memperkukuh semangat setia negara dan jati diri sebagai warganegara Malaysia
dan warga dunia, melalui pengetahuan dan penghayatan sejarah tanah air dan
sejarah negara luar. Usaha ini bertujuan mewujudkan semangat perpaduan dan
kekitaan bangsa dan negara Malaysia. Pendidikan Sejarah juga dapat mewujudkan
ingatan bersama terhadap Sejarah sebagai rangka kesedaran dan persefahaman
antarabangsa.
Sejarah juga merupakan satu mata Pelajaran yang
dapat merangsang pemikiran. Ia membolehkan pelajar dapat melihat secara empati
dan menganalisis bagaimana manusia menggunakan masa, ruang, perubahan dan
kesinambungan. Pemahaman Sejarah dalam konteks pengajaran pembelajaran
bermaksud pemahaman secara kritis dan imaginatif tentang segala aspek kehidupan
manusia silam dan kini. Untuk meningkatkan pemahaman pelajar terhadap mata
pelajaran Sejarah, pembelajaran dan pengajaran Sejarah pada masa kini bukan
sahaja terikat dengan kaedah ‘chalk and talk’ malah boleh dikembangkan dengan
kaedah penggunaan ICT serta aktiviti-aktiviti yang dijalankan di sekolah.
Aktiviti yang dijalankan termasuklah mengadakan Bulan Patriotisme di peringkat
sekolah.
Sering kali wujud tanggapan bahawa sejarah
tidak ada apa-apa kegunaan dalam kehidupan manusia. Ia dianggap tidak boleh
digunakan secara praktikal dalam kehidupan seharian dibandingkan dengan
disiplin-disiplin ilmu yang lain seperti sains, teknologi, perakaunan dan
sebagainya. Tanggapan negatif ini pasti sepenuhnya tidak benar. Menurut Rogers
(1987), tiada sesiapa pun yang boleh terlepas daripada masa lampau. Beliau
menjelaskan bahawa sejarah memberi pemahaman dengan mendalam mengenai
pengalaman dan peristiwa lalu yang berkesinambungan dengan masa kini. Manakala,
Prof. Wang Gangwu (1964) menyatakan secara jelas kepentingan pendidikan sejarah
dengan menyatakan pengajaran sejarah adalah bidang penting untuk generasi muda
dan bangsa moden di dunia ini.
Pendidikan sejarah adalah wajar ditekankan
dalam diri individu yang mana melalui kesedaran terhadap kepentingan pendidikan
sejarah ini mampu melahirkan individu yang cintakan tanah air. Pertamanya kita
dapat lihat bagaimana melalui pemahaman terhadap nilai sejarah akan memberi
banyak pengajaran serta pedoman untuk kita menghadapi masa kini yang penuh
dengan berbagai cabaran yang kian mencabar dengan peningkatan teknologi dan
sebagainya telah membuka jalan kepada penyerapan anasir-anasir luar masuk
dengan mudahnya yang dapat mengakibatkan jatuh bangunnya sesebuah negara.
Melalui pemahaman terhadap nilai sejarah juga individu dapat menyelami susah
payahnya pejuang-pejuang terdahulu dalam membebaskan negara daripada dibelenggu
penjajahan Inggeris yang menduduki negara kita sebelum 1957. Dengan itu,
perkara ini mampu untuk mewujudkan satu rasa penghargaan dalam diri kita
terhadap keperitan mereka yang berjasa demi kebebasan generasi terkemudian
iaitu kita. Akhirnya ini, dapatlah diyakini dengan pendidikan sejarah kita
mampu untuk melahirkan anak-anak Malaysia yang besar jiwanya dengan kecintaan
terhadap negara mereka ini.
Dalam negara mencapai Wawasan 2020, masih
terdapat sebilangan kecil murid dalam sistem pendidikan negara yang masih
bergelut dengan masalah penguasaan literasi asas membaca, menulis dan mengira.
Mereka tergolong dalam kumpulan kecil yang tercicir dari arus pendidikan
negara. Pola komposisi murid ini lebih cenderung kepada mereka yang mempunyai
latar belakang sosio-ekonomi yang rendah.
Seperkara yang turut diberi perhatian ialah merapatkan
jurang pendidikan antara kaum melalui konsep ekuiti dalam pendidikan untuk
semua. Ke arah itu, KPM memastikan semua rakyat Malaysia seharusnya mendapat
peluang pendidikan yang setara tanpa mengira kaum, agama, lokaliti dan
sosio-ekonomi dan budaya. Menyedari masih terdapat kelompok masyarakat yang
seakan terpinggir dari arus pendidikan perdana, inisitaif daripada KPM ialah
meneydiakan ruang dan peluang yang secukupnya untuk memastikan masyarakat Orang
Asli dan Penan di pedalaman turut menerima peluang, kemudahan dan kualiti
pendidikan yang sama taraf dengan mereka yang berada di bandar.
Bagi menjana satu sistem pendidikan yang
berkualiti, maka kurikulum yang dihasilkan perlu relevan dan dinamik dengan
kehendak semasa disamping turut mengambil kira keperluan-keperluan masa akan
datang. Ini adalah perlu kerana budaya pendidikan semasa mempunyai kaitan
lansung dengan segala bentuk perubahan yang melibatkan struktur sosial,
ekonomi, dan politik di dalam negara mahupun di seluruh dunia.
Sebagai sebuah negara yang mempunyai penduduk
berbilang kaum, kurikulum perlu memberi penekanan kepada aspek perpaduan untuk
mengekalkan social cohesion (kejeleketan sosial). Di samping itu, kurikulum
juga perlu menyemai semangat patriotisme dan semangat cintakan negara dikalangan
semua lapisan masyarakat. Ini secara lansung menjamin pembangunan sistem
pendidikan berkualiti dan seterusnya melengkapkan agenda pembangunan negara.
0 comments:
Post a Comment